KOMUNITI berketurunan India turut memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Labuan baru-baru ini.

KOMUNITI berketurunan India turut memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Labuan baru-baru ini.

15,000 kunjungi Rumah Terbuka Ahli Parlimen Labuan
Aidilfitri disambut sebagai keluarga besar

Oleh JAINUDIN DJIMIN dan MD. KHAIRUL AZAD YUNUS

LABUAN – Kira – kira 15,000 masyarakat berbilang kaum menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri yang dianjurkan oleh Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli di kediamannya di sini baru-baru ini.

Menurut Rozman lagi, kehadiran ramai warga Labuan dari pelbagai latar menunjukkan semangat Malaysia yang tulen di samping mengekalkan sikap hormat menghormati dan menyemai perpaduan.

“Kehadiran yang ramai termasuk rakan-rakan, saudara mara, pemimpin masyarakat dan pegawai kerajaan ke majlis tersebut menunjukkan masyarakat di sini gembira meraikan hari lebaran sebagai sebuah keluarga besar.

”Walaupun merasa letih, saya tetap rasa seronok melayan ramai orang,” katanya kepada pemberita pada majlis tersebut.

Menurut Rozman, Aidilfitri menjadi wadah penyatuan masyarakat berbilang kaum dan agama dan mengeratkan silaturahim dalam kalangan sahabat handai dan kenalan lama.

“Generasi muda turut menghadiri majlis ini bagi berkumpul beramai-ramai selain mengumpulkan pelbagai lapisan masyarakat merentasi ideologi politik,” katanya.

Sementara itu, Rozman berkata, pelantikannya sebagai Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Warisan Sabah akan menguntungkan kedua-dua negeri antara Sabah dan Labuan.

”Pelantikan itu membolehkan kedua-dua pihak membuat perancangan dari awal untuk merapatkan hubungan dan memastikan pembangunan kedua-dua negeri lebih serasi serta harmoni.

”Kita integrasikan perancangan dan selaraskan perlaksanaan, saya yakin ia akan memberi keuntungan kepada kedua-dua belah pihak.

”Labuan ini kecil serta secara geografinya berada di Sabah dan ini membuatkan ia sangat penting untuk Labuan dekat dengan Sabah,” katanya.

Beliau juga yakin dapat memainkan peranan untuk memastikan pembangunan negeri Sabah sentiasa mengambil kira kedudukan Labuan.

Tambahnya, perancangan untuk mempelbagaikan asas ekonomi Labuan akan membolehkan kelembapan ekonomi pulau itu beransur pulih.

”Kita merancang untuk pelbagaikan asas ekonomi Labuan kepada destinasi pelancongan, hab pendidikan, pusat logistik pelabuhan yang aktif sesuai dengan kedudukan Labuan yang mempunyai pelabuhan laut dalam semulajadi,” jelasnya.

CATEGORIES