Personaliti

Komposer berbakat besar baru berusia 20 tahun

PRITHVI Kumaraguru menunjukkan tempat dia menghasilkan lagu.
- Diterbit 10 Februari 2021 1:40 AM MYT

LAGU tema pembukaan merupakan salah satu aspek yang penting dalam sesebuah drama bersiri, ia membolehkan penonton untuk merasai emosi cerita itu terutamanya dalam genre ‘thriller‘.

Ini telah dibuktikan oleh komposer muda kelahiran kacukan negara India-Malaysia yang hanya berusia 20 tahun, Prithvi Kumaraguru, yang telah melakukan tema pembukaan untuk siri Asura Vettai di saluran Astro Vinmeen HD.

Aktiviti mengkompos lagu ini bermula sebagai satu hobi yang lama-kelamaan bertukar menjadi satu minat yang mendalam baginya.

“Muzik adalah seperti bercerita dan saya mempunyai banyak cerita untuk dikongsikan jadi mengapa tidak melalui muzik.

“Illenium ialah seorang penerbit muzik tarian elektronik (EDM) yang telah menginspirasikan saya untuk menghasilkan muzik.

“Dia mempunyai gaya berbeza yang sangat menarik dan dapat menzahirkan emosi yang menyentuh perasaan.

“Selain itu, Hans Zimmer dan Ludwig Gorranson merupakan komposer filem kesukaan saya.

“Kreativiti dan pemahaman mereka dalam meletakkan ‘mood’ dalam apa jua filem dan adegan tertentu sangat mengagumkan,” katanya yang juga dikenali dengan nama pentasnya, PK.

Ibunya, Sherreen Murugas, penerbit Asura Vettai oleh Syarikat Creative Stew telah menyuruhnya melakukan draf muzik untuk dihantar ke syarikat itu.

“Penerbit Eksekutif, Abid Hussein dan Jaya Mahajan menginginkan muzik tema berdurasi satu minit untuk menetapkan ‘mood’ dan nada untuk siri tersebut.

“Selepas empat draf dan pengerjaan semula, muzik saya telah diluluskan oleh syarikat itu dan juga saluran Astro,” ujar pelajar tahun akhir dalam Sarjana Muda Penyiaran dan Kewartawanan di Universiti Limkokwing, Cyberjaya.

Perjalanannya mungkin kelihatan seperti mudah tetapi PK turut berdepan dengan pelbagai cabaran sebagai komposer muda di negara ini.

Dia berkata, cabaran utamanya adalah untuk mencapai jangkaan dan sasaran orang lain.

“Saya adalah seorang pendatang baru di industri ini, ramai lagi komposer yang lebih bagus dan berpengalaman berbanding saya.

“Jadi, saya perlu mencipta sesuatu yang lebih bagus supaya karya saya setanding dengan komposer terkenal lain,” menurutnya.

PK turut memberikan kata-kata semangat buat mereka yang baru mula mengkompos lagu sepertinya dahulu.

“Jangan tunggu peluang untuk tiba, sebaliknya hasilkan peluang anda sendiri.

“Jika anda takut untuk gagal kerana masih baru bermula, anda akan menyesalinya kerana failing without trying will only bring you regret.

“Teruskan bekerja keras dan pastikan untuk terus menghasilkan muzik sehingga mencapai sasaran yang anda inginkan,” ujarnya penuh bersemangat kepada Wilayahku.

POSTER Asura Vettai, sebuah drama bersiri misteri di Astro Vinmeen HD.

Rancangan bersiri Asura Vettai telah mula ditayangkan pada 1 Februari, setiap hari Isnin sehingga Jumaat pada pukul 9 malam di Astro Vinmeen HD, saluran 231 dan ikuti perkembangan PK di Instagram @pk_composer dan @zerva_music. – AFIFAH AFIZAL – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas