Kompleks Sukan Air, pusat aktiviti Labuan

Kompleks Sukan Air, pusat aktiviti Labuan

Oleh AZLAN ZAMBRY
azlanwilayahku@gmail.com

SALAH satu mercu tanda di Labuan ialah Kompleks Sukan Air Antarabangsa Labuan yang sering dijadikan lokasi utama untuk pelbagai aktiviti sukan bertaraf antarabangsa.

Kompleks yang terletak di kawasan pantai sepanjang Jalan Tanjung Purun juga menjadi lokasi penganjuran program yang melibatkan pihak kerajaan mahupun swasta.

Menurut Pengarah Jabatan Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Perbadanan Labuan (PL), Mahathir Abd. Hamid, Kompleks Sukan Laut Antarabangsa ini adalah sebahagian daripada projek mencantikkan pantai Labuan.

“Objektifnya ialah untuk membina sebuah pusat sukan air bertaraf dunia dan untuk membangunkan tempat-tempat menarik lain.

“Malah usaha tersebut juga sejajar dengan visi kerajaan Persekutuan untuk menjadikan Labuan sebuah destinasi pulau utama di rantau ini,’’ katanya kepada Wilayahku.

Kata Mahathir, kompleks yang merangkumi kawasan seluas 5.91 ekar melibatkan kos keseluruhan RM25 juta tersebut dibuka kepada umum pada Jun 2001 apabila ia menjadi hos kepada Labuan International Sea Challenge yang diadakan sebagai acara tahunan.

“Infrustruktur dan fasiliti yang diberi oleh kompleks ini mampu untuk menarik para pelancong dan pelabur ke Labuan,

“Kemudahan-kemudahan moden akan membolehkan pulau ini untuk menjadi hos kepada acara dan kejohanan sukan laut antarabangsa.” katanya lagi.

Jelas Mahathir lagi, Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan direka dengan tiga struktur ketara yang merupakan sebahagian daripada plaza pemandangan utama.

“Setiap bangunan mempunyai aktiviti khas dalamnya. Setiap menara adalah bahagian penting kompleks sukan air yang moden dan besar.

“Seni binanya memberi kenyataan dramatik mengenai alam sekitar, tradisi dan fungsi moden,” katanya.

Selain itu, di sini juga terdapat pusat utama sukan air, blok pentadbiran, muzium biologi marina, kedai cenderahati dan kedai-kedai makan.

Kata Mahathir lagi, kompleks tersebut dilengkapi dengan kemudahan pusat sukan air untuk aktiviti sukan air utama dan lokasi diadakan karnival.

“Terdapat satu kawasan simpanan bot yang luas dan terus menghadap pantai. Fasiliti lain termasuk ruang menukar pakaian, tempat rehat dan tempat persediaan umum juga disediakan.

“Selain itu, ia juga diguna sebagai kawasan pameran tetap untuk pelbagai aktiviti sukan laut,’’ katanya.

Muzium Biologi Marina

Menurut Mahathir lagi, kompleks berkenaan juga menempatkan Muzium Biologi Marina terletak bersama dengan blok pentadbiran di bangunan berasingan.

“Ia berbentuk separa bulatan berdepan dengan laut dengan sebuah galeri terbuka. Sebahagian besar bagi ruang binaan digunakan oleh Muzium Maritim.

Turut ditempatkan di sini adalah plaza utama yang berbentuk bulatan dan dilengkapi dengan struktur yang dapat melindungi daripada setiap keadaan cuaca buruk selain digunakan sebagai pusat bagi melancarkan atau menonton berbagai jenis acara sukan laut.

Sebelum pulang pengunjung boleh singgah sebenar di kedai-kedai rangkaian popular dan kedai makan yang menjual makanan tempatan.

Kedai-kedai cenderahati dan kraf tangan menjadikan kompleks tersebut popular dalam kalangan pelancong-pelancong.

CATEGORIES