Artikel

Wilayah Persekutuan dominasi wushu

KHALID (tengah) bergambar bersama-sama peserta silat dan wushu selepas Majlis Penyampaian Pingat kepada pemenang.
KHALID (tengah) bergambar bersama-sama peserta silat dan wushu selepas Majlis Penyampaian Pingat kepada pemenang.
- Diterbit 19 Julai 2019 12:58 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]
Foto: Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP)

KUALA LUMPUR – Skuad Wushu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mempersembahkan aksi terbaik apabila mendominasi pingat emas pada Karnival Bakat Kebangsaan Siri 1 tahun 2019 yang dianjurkan di Kompleks Sukan Bukit Jalil di sini baru-baru ini.

Melalui acara Nanquan kategori bawah 15 tahun, Goh Ze Rong, 12, mempamerkan aksi menarik dan berjaya mengalahkan Ryan Yu Chee Sheng, 11, dari Sarawak serta Tan Kai Siang, 10, dari Negeri Sembilan.

Bagi acara Jichu Chanquan pula, Tan Woei Xuan, 9, mengalahkan Yap Xin You, dari Kelantan dan Amber Tan Ling Xin dari Sarawak.

Untuk acara Sanlu Changquan, Yong Jia Qian, 13, pula menewaskan Emily Tan Li Men, 13, dari Melaka dan Saw Wei Yi dari Kelantan.

Pingat disampaikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad. Turut hadir dalam majlis tersebut, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Shafawi Ismail dan Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Wilayah Persekutuan, Dr. Hasnul Faizal Hushin Amri.

Menurut Khalid, program anjuran Majlis Sukan Negara ini merupakan satu usaha yang baik untuk mencungkil bakat-bakat baharu di dalam bidang sukan.

“Saya difahamkan kesemua atlet yang bertanding dalam kejohanan ini merupakan atlet muda dan mereka akan ditapis lagi sebelum diserap sebagai atlet pelapis.

“Pertandingan ini melibatkan atlet-atlet yang sangat muda seawal umur enam tahun dalam kategori bawah 12 tahun, bawah 15 tahun dan juga bawah 18 tahun yang bertujuan untuk memberikan pendedahan awal dalam pembangunan sukan negara,” katanya kepada media selepas penyampaian pingat kepada pemenang.

Mengulas lanjut, Khalid turut berkata bahawa program tersebut cukup penting untuk masa depan sukan negara.

“Atlet ini akan dikenal pasti sebelum dilatih dengan lebih intensif untuk mencapai piawaian antarabangsa,” katanya lagi.

Sementara itu, secara keseluruhan, Melaka memenangi tempat tertinggi dalam sukan ini dengan 16 pingat diikuti tempat kedua Pulau Pinang dengan lima pingat dan tempat ketiga Sarawak dengan lima pingat.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas