Berita

Komitmen baharu Nestle untuk jadikan Malaysia lebih hijau

- Diterbit 9 Oktober 2020 3:16 AM MYT

NESTLE Malaysia Bhd (Nestle Malaysia) melancarkan Projek RELeaf bulan lepas – inisiatif penghutanan semula yang bermatlamat menanam tiga juta pokok dalam tempoh tiga tahun di seluruh Malaysia dari 2021 hingga 2023.

Dua juta daripada tiga juta pokok itu akan ditanam di kawasan hutan melibatkan Kinabatangan Wetlands dan Lembah Merisuli di Sabah. Selebihnya satu juta pokok akan ditanam di Semenanjung, termasuk kawasan di sepanjang tulang belakang hutan tengah.

Tulang belakang hutan tengah merangkumi kawasan hutan dalam kumpulan kompleks hutan Semenanjung Malaysia.

Terdapat empat kompleks hutan utama iaitu Banjaran Titiwangsa-Banjaran Bintang-Banjaran Nakawan; Taman Negara-Banjaran Timur; Tenggara Pahang-Chini dan Bera Wetlands; dan Taman Hidupan Liar Endau Rompin-Kluang.

Hutan simpan ini menyediakan keperluan tempat perlindungan bagi pelbagai jenis flora dan fauna.

Melalui inisiatif ini, Nestle Malaysia menyumbang kepada janji globalnya untuk bergerak menuju pelepasan rumah hijau sifar menjelang 2050.

Bercakap kepada pemberita selepas pelancaran Projek RELeaf, Ketua Pegawai Eksekutif Nestle Malaysia Juan Aranols berkata, melalui Projek RELeaf oleh Nestle Malaysia, ia dipercayai dapat memberi kesan yang lebih besar lagi bagi melindungi sumber alam sekitar Malaysia.

“Projek RELeaf bertujuan untuk mengatasi kehilangan kepelbagaian biologi dan perubahan iklim dengan meningkatkan keupayaan dalam pertanian dan menerapkan penyelesaian berasaskan alam untuk menyerap lebih banyak karbon,” katanya.

NILAI POSITIF

Menurut Aranols, Projek RELeaf diyakini akan memberi nilai positif dalam tiga bidang iaitu Penghutanan Semula (Reforest), Memulihkan (Restore) dan Hormat (Respect).

“Nestle ingin melaksanakan penghutanan semula kawasan hutan yang mengalami kerosakan agar dapat mengurangi konflik manusia-binatang dan pada masa yang sama menyediakan makanan dan tempat perlindungan kepada pelbagai jenis flora dan fauna. Ini termasuk hidupan liar yang terancam seperti orangutan, monyet proboscis, gajah Asia, harimau Malaya dan banyak lagi,” katanya.

Aranols berkata, Nestle juga berhasrat meneruskan usaha memulihkan penyangga sungai di negara ini dan berharap dapat membantu meningkatkan kualiti air dengan mengurangkan kesan negatif aktiviti manusia.

Nestle juga menghormati kehadiran masyarakat setempat di kawasan ini dan akan terus memperkasa dan menyokong kehidupan mereka dengan melibatkan mereka dalam aktiviti menanam anak benih pokok dan pemeliharaan di hutan.

“Melalui penglibatan menang-menang dengan komuniti setempat ini, kami (Nestle Malaysia) yakin akan dapat memupuk kesedaran dan penyertaan mereka dalam pemuliharaan dan kelestarian alam sekitar, di samping dapat memberi manfaat kepada mereka dan generasi akan datang,” katanya.

Nestle memulakan perjalanan projek RELeaf dengan mendapat banyak sokongan daripada rakan termasuk kementerian dan entiti.

Rakan kongsi projek Nestle Malaysia untuk projek RELeaf termasuklah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Jabatan Perhutanan Sabah, Persatuan Pencita Alam Malaysia, Projek Pemuliharaan Orangutan Kinabatangan, Pusat Pemuliharaan dan Penyelidikan Hutan Hujan Tropika, Sime Darby Plantation Bhd, serta komuniti tempatan dan pekebun.

SPESIES TEMPATAN

Mengenai pemilihan spesies pokok untuk projek RELeaf, Aranols berkata, Nestle akan menanam pokok spesies tempatan dan akan menggabungkannya dengan ekosistem semula jadi.

“Itulah satu-satunya cara kita dapat memelihara hutan kita selama bertahun-tahun dan menjadikannya berkekalan,” katanya, sambil menambah bahawa 25 hingga 40 spesies pokok akan ditanam bergantung kepada kawasannya.

Bukan sahaja pokok spesies hutan malahan pokok buah-buahan akan ditanam agar buahnya dapat dimakan oleh hidupan liar.

“Jadi ini akan menjadi gabungan pelbagai spesies dan bersesuaian dengan lingkungan di mana pokok-pokok itu akan ditanam,” tambahnya.

Contohnya, di zon sungai (kawasan yang terletak di tebing sungai) tumpuan akan diberikan kepada penanaman pokok spesies mitigasi banjir. Bagi kawasan lereng bukit yang perlu dipulihkan, fokusnya adalah untuk menanam pokok spesies hutan.

PROJEK DIMULAKAN TAHUN 2021

Aranols juga berkata, Kumpulan Nestle merancang untuk membelanjakan kira-kira RM6 juta setahun untuk Projek RELeaf. Fasa pertama projek ini akan bermula di Sabah pada awal tahun hadapan sementara kerja-kerja di tulang belakang hutan tengah Semenanjung dijangka bermula pada akhir 2021 atau 2022.

Satu daripada kawasan utama di Semenanjung Malaysia yang akan menjadi tumpuan Nestle adalah kawasan hutan Ulu Muda di bahagian barat Kedah di mana 400,000 hingga 500,000 pokok dijangka ditanam dengan kerjasama Persatuan Pencinta Alam Malaysia.

Mengenai bagaimana Nestle akan mengukur kejayaan projeknya, Aranois berkata, akan ada penjejakan sistematik daripada pekerjaan yang dilakukan di lapangan dan menambah bahawa akan ada juga indeks prestasi utama (KPI) dari segi berapa banyak pokok yang mereka tanam dan kadar kelangsungan hidup.

Aspek penting lain kesan projek ini adalah bagaimana ia dapat membantu menghasilkan sumber pendapatan tambahan kepada masyarakat setempat yang akan terlibat dalam mengumpulkan benih dan anak benih dari hutan, mengurus tanaman dan menanam di habitat semula jadi mereka.

PROJEK RiLEAF

Beliau berkata, Projek RiLEAF telah mencipta sumber pendapatan bagi masyarakat setempat yang menyediakan anak benih pokok spesies hutan dan menanamnya di kawasan yang berkenaan.

Tujuan utama usaha penghutanan semula adalah bagi mengurangkan pencemaran air di sungai Kinabatangan yang berpunca daripada kegiatan pertanian.

Langkah pertama Nestle dalam memelihara kepelbagaian biologi Malaysia bermula pada tahun 2011 dengan projek RiLEAF – inisiatif penghutanan semula untuk memulihkan lebih 2,500 hektar hutan di sungai Kinabatangan yang lebih rendah di Sabah.

“Perjalanan itu telah berakhir. Bersama rakan kongsi utama kami, Yayasan Sime Darby, Jabatan Perhutanan Sabah dan banyak lagi, kami melintasi satu juta pokok yang ditanam pada bulan September (bulan lepas).

“Dengan berakhirnya projek RiLEAF, kami ingin memulai program penghutanan semula dan lebih berdaya saing tinggi sebagai sumbangan konkrit untuk memerangi perubahan iklim dan melindungi ekosistem yang terancam,” katanya.

Pada pelancaran Projek RELeaf baru-baru ini, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah memuji inisiatif yang dilaksanakan oleh Nestle.

“Projek ini pasti akan melengkapkan Program Penghijauan Malaysia oleh kerajaan melalui kempen penanaman 100 juta pokok dari 2021 hingga 2025,” katanya.

Shamsul Anuar berkata, Project RELeaf adalah usaha Nestle untuk menghijaukan Malaysia dan memulihkan kawasan hutan yang rosak.

“Saya berharap lebih banyak badan korporat dan swasta akan mencontohi Nestle dalam usahanya untuk memelihara dan memulihkan hutan kita yang juga harta karun negara kita,” tambahnya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas