BAGI melahirkan tenaga kerja yang kompetitif dan berdaya saing, Kolej Vokasional (KV) Zon Sabah Dan Labuan giat menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak industri.
Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan, Yusup Mohamad berkata ia selaras dengan usaha kerajaan dalam berhadapan dengan Revolusi Perindustrian 4.0.
“Usaha awal kerajaan mengarusperdanakan pendidikan vokasional seperti yang terkandung di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) adalah tepat dalam menyediakan ruang dan peluang kepada modal insan negara untuk memiliki keupayaan dan tahap kemahiran tinggi serta memenuhi permintaan industri.
“Dalam memenuhi usaha ini, jalinan kerjasama dengan pihak industri sedang dipergiatkan agar lebih responsif dan menepati keperluan serta perkembangan ekonomi negara.
“Manakala agenda ekonomi yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) menjangkakan akan wujud 1.5 juta peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor dengan sasaran sebanyak 60 peratus daripada pekerjaan tersebut memerlukan kemahiran berkaitan bidang Pendidikan dan Latihan Teknik dan Vokasional (TVET),” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Nota Persefahaman (NoU) Kolej Vokasional Zon Sabah dan Labuan dengan pihak industri baru-baru ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Pengarah Sektor Perancangan Jabatan Pendidikan Labuan, Noraini Sahbudin.
Hadir sama Pengarah Kolej Vokasional Labuan Siti Muslihah Leeudin dan pengarah-pengarah serta wakil KV Zon Sabah.
Kerjasama di antara KV Zon Labuan dan Sabah dengan pemain industri bakal memberi manfaat kepada 1,200 graduan menjalani latihan industri di Palm Beach Resort & Spa Labuan dan Dorsett Grand Labuan. -WILAYAHKU