Berita

Kod Etika Kewartawanan perkasa peranan wartawan, tidak beri konotasi negatif – Teo

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 1 Mac 2024 5:55 PM MYT

KOD Etika Wartawan Malaysia versi baharu yang dilancarkan baru-baru ini adalah sebagai usaha memperkasa peranan wartawan dalam penyampaian berita dan maklumat, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Menyangkal dakwaan kononnya kod etika itu memberikan konotasi negatif kepada bidang kewartawanan, Teo menegaskan kod itu sudah wujud sejak 1989 dan pembaharuan serta penambahbaikan itu perlu dilakukan seiring peredaran semasa agar kekal relevan.

Beliau berkata kod etika itu juga dokumen rasmi sebagai punca kuasa dan rujukan bagi tujuan pengeluaran serta pembatalan kad perakuan media yang dikeluarkan Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen).

“Kod etika ini sudah lama wujud dan untuk mengatakan ia memberi konotasi yang negatif, itu amat tidak tepat.

“Setiap wartawan memegang kad perakuan media JaPen diharap boleh mematuhi kod etika ini. Dengan adanya kod etika ini menjadi rujukan dan garis panduan kepada JaPen sekiranya berlaku salah laku dalam kalangan wartawan,” katanya kepada Bernama.

Terdahulu, Teo hadir ke Bernama Radio hari ini untuk rakaman program sempena sambutan Hari Wanita Sedunia.

Pada 20 Feb lepas, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil melancarkan Kod Etika Wartawan Malaysia versi baharu yang mengandungi lapan etika utama antaranya wartawan bertanggungjawab menjadi suara masyarakat majmuk, hendaklah telus dan berintegriti serta berlaku adil dalam menyampaikan informasi.

Etika lain ialah pemberitaan tidak dipengaruhi kepentingan peribadi, kesahihan dan ketetapan maklumat dan wartawan perlu menghormati privasi dan kerahsiaan sumber.

Selain itu, wartawan juga perlu memahami undang-undang, akta dan polisi yang berkaitan dengan ruang lingkup tugas mereka dan wartawan perlu memberikan keutamaan untuk meningkatkan kemahiran kewartawanan secara berterusan. – BERNAMA 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas