Berita

Kluster tahanan Imigresen, jumlah kes Covid-19 kembali tiga digit

Gambar hiasan
- Diterbit 25 Mei 2020 10:09 AM MYT

PUTRAJAYA – Kes positif Covid-19 kembali mencecah tiga digit apabila sebanyak 172 kes baharu dilaporkan hari ini dengan 159 kes membabitkan warga asing.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu menjadikan keseluruhan kes positif Covid-19 di negara ini adalah sebanyak 7,417 kes.

Beliau berkata, lima kes turut dikesan melibatkan kes import.

Katanya, daripada kes warga asing, 112 membabitkan tiga Depot Tahanan Imigresen (DTI) di Bukit Jalil, Semenyih dan Sepang.

“Orang ramai tidak perlu bimbang kerana semua kes di DTI itu sudah diasingkan serta dikawal pihak berkuasa dan hanya terdapat lapan kes membabitkan rakyat tempatan.

“Daripada keseluruhan kes itu, kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 sebanyak 1,323 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat pertambahan 34 kes pulih dan dibenarkan keluar dari hospital hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya meningkat kepada 5,979 kes dengan kadar kesembuhan 80.6 peratus.

“Sehingga kini, lapan kes positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan empat daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Beliau berkata, tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian kekal 115 kes hari ini iaitu 1.55 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas