Berita

Kluster baharu pelajar baru balik dari Temboro, Indonesia

POSTER peringatan tentang wabak Covid-19 dipasang di Magetan, Jawa Timur. Gambar hiasan
- Diterbit 19 April 2020 11:00 AM MYT

PUTRAJAYA – Satu lagi kluster baharu dikesan membabitkan 43 pelajar yang pulang dari Temboro, Indonesia pada 16 April lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Temboro merupakan kawasan yang telah diisytiharkan sebagai zon merah di daerah Magetan, Jawa Timur.

“Daripada jumlah itu, 34 dikuarantin di Melaka manakala sembilan lagi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Ini menunjukkan tindakan kerajaan untuk mengambil langkah kuarantin dan menyaring semua rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara adalah tepat.

“Ia juga bagi memastikan kes import tidak menjangkiti penduduk di Malaysia,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Tambah Dr Noor Hisham, secara keseluruhannya, jumlah keseluruhan kes positif membabitkan rakyat yang pulang dari luar negara adalah 65 kes.

“Antaranya, 43 kes dari Jawa Timur, Acheh (3); Turki (1) dan Kalimantan (1),”katanya.

Semalam, satu lagi kluster baharu dikesan melibatkan petugas kesihatan di tiga buah hospital iaitu Hospital Queen Elizabeth 2, Hospital Wanita dan Kanak-kanak, Likas dan Hospital Keningau.

Terdapat 31 kes yang telah dikenal pasti positif Covid-19 dalam kluster tersebut termasuk dua kes baharu yang dilaporkan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas