MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim mencadangkan agar jualan murah dibuat dua bulan berturut-turut bagi menarik pelancong tempatan dan asing ke Kuala Lumpur.


Katanya, tindakan itu dilihat bakal mengembalikan bandar raya itu ke zaman kegemilangannya sebagai syurga beli-belah terbaik di Asia Tenggara pada tahun 1990-an yang lalu.
“Datuk Bandar Kuala Lumpur sedang berusaha untuk melihat bagaimana kaedah untuk mengembalikan semula Kuala Lumpur ke zaman kegemilangannya iaitu sebagai pusat beli-belah yang terbaik di Asia Tenggara dan juga salah satu yang terbaik di dunia.
“Segala jenis barangan di dunia ini ada di sini dan bukan itu sahaja, orang luar pun ramai yang berada di sini.
“Kita cuba runding supaya diskaun yang tinggi pada awal tahun itu diadakan jualan murah yang mungkin mencecah sehingga 50 peratus. Sudah pasti pelancong tempatan dan luar negara akan berpusupusu ke sini,” katanya kepada pemberita selepas Merasmikan Pustaka Kuala Lumpur @ Keramat di UTC Keramat di sini pada Selasa. – WILAYAHKU