Berita

KKM teruskan Operasi Ramadan 2024

- Diterbit 12 Mac 2024 6:34 PM MYT

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) akan meneruskan Operasi Ramadan 2024 serentak di seluruh negara di semua premis makanan termasuk bazar Ramadan yang beroperasi di seluruh negara pada bulan Ramadan kali ini.

KKM dalam satu kenyataan berkata, operasi tersebut melibatkan pemeriksaan premis serta pensampelan makanan yang bermatlamat untuk memastikan makanan yuang disediakan atau dijual adalah selamat, mematuhi akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

“Pemeriksaan ini juga akan dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing,” katanya hari ini.

Menurut KKM, seain itu, kempen-kempen kesedaran berkaitan keselamatan makanan kepada orang ramai, pengendali dan pengusaha premis bahan mentah, premis penyediaan makanan, premis pembekal makanan turut giat dijalankan melalui bahan pendidikan, kesihatan, media massa, media elektronik dan media sosial.

“Orang ramai dinasihatkan untuk mengutamakan keselamatan makanan sepanjang Ramadan ini dalam memilih apa sahaja juadah berbuka, sebelum membeli ‘Perhati dan Pilih’ serta amalkan ‘Lihat Hidu Rasa’ kerana ia langkah paling mudah untuk mengelakkan keracunan makanan.

“Para peniaga pula dinasihatkan supaya membersihkan terlebih dahulu bahan mentah sebelum digunakan dalam penyediaan makanan dan tidak menyediakan makanan yang berisiko tinggi terlalu awal daripada waktu untuk dijual,” jelasnya.

Tambahnya, KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna.

“Melalui pelaksanaan pemantauan dan penguatkuasaan yang berterusan, KKM memberi jaminan bahawa tahap keselamatan dan kualiti makanan sepanjang Ramadan adalah terkawal.

“Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau layari laman sesawang http://moh.spab.gov.my serta Facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) www.facebook.com/bkkmhq,” katanya. – WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas