KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) melantik seramai 1,197 orang calon simpanan meliputi sejumlah 857 calon pegawai perubatan dan 340 pegawai farmasi bagi mengisi jawatan tetap di kementerian berkenaan.
Menurut KKM, pelantikan itu dibuat selepas Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) meluluskan permohonan untuk melantik sebanyak 1,197 jawatan tetap pada 29 September 2023 dan 3 Januari 2024.
“Pelantikan itu bertujuan bagi mengisi baki kekosongan jawatan selepas selesai urusan 1,508 calon simpanan pegawai perubatan dan pegawai farmasi fasa pertama yang melapor diri pada 18 Disember 2023.
“Selaras dengan kelulusan SPA, semua calon simpanan yang menerima surat tawaran pelantikan tetap telah dimaklumkan untuk melengkapkan urusan setuju terima pelantikan menerusi Sistem Tawaran Pelantikan (MySTP) SPA.
“Urusan ini telah berlangsung dalam tempoh 21 hari bermula 29 Disember 2023 (calon pegawai perubatan) dan 3 Januari 2024 (calon pegawai farmasi),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sepertimana jaminan ketelusan dalam urusan penempatan lantikan tetap sebelum ini, KKM memberitahu penempatan pada kali ini terus dilaksanakan menerusi sistem e-placement iaitu sistem e-housemen untuk calon pegawai perubatan dan sistem e-pharmacist untuk calon pegawai farmasi.
“Sehubungan itu, setiap calon telah dimaklumkan untuk membuat pemilihan penempatan bagi tujuan pengesahan melapor diri bertugas dalam tempoh sistem dibuka dari 15 Januari hingga 17 Januari 2024.
“Tawaran pelantikan tetap terbatal sekiranya calon tidak membuat pemilihan penempatan dalam tempoh yang ditetapkan,” ujarnya.
Selain itu, KKM berkata pihaknya juga telah menyediakan saluran untuk calon yang ingin mengemukakan rayuan pertukaran penempatan menerusi google form bermula 15 hingga 19 Januari 2024.
“Rayuan yang dikemukakan menerusi google form dalam tempoh yang ditetapkan sahaja akan dibawa untuk pertimbangan oleh Jawatankuasa Rayuan Penempatan,” ujarnya keputusan Jawatankuasa Rayuan Penempatan akan dimaklumkan kepada calon menerusi portal Semakan Kerjaya KKM pada 31 Januari 2024.
Dalam masa sama, KKM memaklumkan penempatan calon ke fasilliti akan dimaklumkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri mulai 12 Februari 2024.
“Tarikh pelantikan tetap calon pula adalah berkuat kuasa pada tarikh lapor diri bertugas iaitu 4 Mac 2024.
“Calon yang tidak dapat melapor diri bertugas pada 4 Mac 2024, boleh memohon penangguhan sementara melapor diri bertugas kepada Ketua Jabatan baharu,” ujarnya. – WILAYAHKU