Berita

KKM kaji kemungkinan jangkitan melalui makanan basah di pasar

RUANG bawah Pasar Awam Presint 8.
- Diterbit 11 Mei 2020 1:43 PM MYT

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan masih menunggu keputusan laporan sama ada terdapat kes jangkitan Covid-19 merebak kepada makanan di pasar basah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keputusan laporan berkenaan membabitkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Beliau bagaimanapun, mengesahkan tiada bukti setakat ini bahawa Covid-19 boleh menjangkiti manusia daripada makanan.

“Saya rasa ramai yang risau isu ini tetapi kalau ada pun virus (pada makanan), ia akan mati apabila dimasak dengan suhu yang tinggi. Tiada kes sedemikian setakat ini.

“Apa pun, KKM sedang menunggu laporan JPV mengenai kajian jangkitan virus terhadap makanan terutamanya bahan mentah seperti ayam.

“Contohnya, kes jangkitan yang berlaku di kilang ayam, kita masih menunggu laporan jabatan itu,” katanya dalam sidang akhbar harian hari ini.

Beliau mengulas berhubung kebimbangan orang ramai terhadap kes positif membabitkan peniaga dan pengunjung pasar basah sejak kebelakangan ini.

Antara pasar basah terbabit ialah di Chow Kit, Selayang, Taman Megah, Seremban dan Bahau selain Jalan Othman, Petaling Jaya.

Selain itu, katanya, tidak semua makanan perlu dijemur sebagaimana dilakukan segelintir masyarakat.

“Tak semestinya jemur. Bergantung kepada makanan dibeli sebab tak semua makanan boleh dijemur,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas