Berita

KKM guna pendekatan bersasar saring COVID-19 kalangan ahli keluarga

- Diterbit 19 Ogos 2020 5:07 AM MYT

PROSES saringan COVID-19 akan menggunakan kaedah pendekatan bersasar dalam kalangan ahli keluarga kes indeks, berbanding pengesanan saringan secara lokaliti, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kaedah itu adalah lebih efektif kerana Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempunyai maklumat berkenaan individu yang perlu disaring.

“Kita mengesan, mengikut dan menjejaki mereka yang ada terdedah kepada kes-kes positif dan kita ada nama (mereka) serta saluran untuk menjejaki mereka.

“Setakat ini, Alhamdulillah kita dapati contohnya, apabila kita melaksanakan ujian (saringan untuk Kluster Tawar), kita dapat mengesan kes positif dan ambil tindakan pencegahan iaitu mengenal pasti mereka sama ada di Kedah atau Pulau Pinang,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham menafikan satu laporan media menyatakan Kedah diisytihar sebagai zon merah COVID-19 dan menjelaskan penentuan zon merah adalah berdasarkan kepada daerah dan bukannya negeri.

“Setakat ini, bukan zon merah lagi sebab ia bukan satu kawasan tertumpu… jadi kita lihat pada daerah hanya kuning sahaja, kalau merah (zon) maksudnya jumlah kes 40 ke atas,” katanya.

Sehingga kini, terdapat empat kluster aktif di Kedah iaitu Kluster Tawar dengan 47 kes aktif, Kluster PUI (Individu Bawah Pengesanan) Sivagangga (25), Kluster Sala (lapan) dan Kluster Muda (tiga).

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata sebuah sekolah di Kulim, Kedah, telah diarahkan tutup selepas dikaitkan dengan penularan jangkitan COVID-19 daripada Kluster Tawar.

“Sekolah berkenaan telah ditutup dan kami telah melakukan ujian dan saringan ke atas pelajar serta melakukan proses sanitasi di lokasi terbabit.

“Kami telah mengambil semua langkah positif di sekolah. Saya harap dalam tempoh satu atau dua minggu, kita dapat mengawal jangkitan di kawasan berkenaan,” katanya.

Mengenai vaksin COVID-19 yang menyaksikan Rusia dan China, masing-masing telah mendaftarkan paten untuk vaksin yang dibangunkan, Dr Noor Hisham berkata KKM akan meneliti data-data klinikal vaksin COVID-19 berkenaan sebelum memutuskan untuk menggunakannya di Malaysia.

“Apa yang penting ialah kita perlukan maklumat mengenai kajian tersebut iaitu fasa klinikal ketiga… yang dilaksana pada manusia, jadi kita kena lihat keberkesanan vaksin tersebut dan jika ada kesan sampingan (akibat vaksin tersebut).

“Kalau maklumat sudah diperoleh, pakar-pakar kita akan melihat pada vaksin tersebut. Jika keberkesanannya tinggi, kita pasti akan melabur atau menggunakan vaksin tersebut,” katanya.

Semalam, media antarabangsa melaporkan China telah mendaftarkan paten bagi vaksin COVID-19 pertamanya yang diperakui Pentadbiran Harta Intelek Nasional China.

Pada 11 Ogos, Rusia mengumumkan sudah meluluskan vaksin COVID-19 yang dikenali sebagai ‘Sputnik V’ dan pengeluaran skala penuh dijangka bermula pada bulan depan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas