Berita

COVID-19: Kluster Hyde Park diisytihar tamat – KP Kesihatan

- Diterbit 19 Ogos 2020 5:09 AM MYT

SATU lagi kluster COVID-19 iaitu Kluster Hyde Park di Klang, Selangor, diisytiharkan tamat hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam catatan di Twitternya berkata, kluster berkenaan melibatkan kluster kes import terpencil, di atas sebuah kapal.

“Kluster ini melaporkan empat kes positif COVID-19, yang kesemuanya bukan warganegara Malaysia, namun tiada sebarang kematian dilaporkan.

“Terkini termasuk kluster ini, sebanyak 79 kluster telah ditamatkan,” katanya.

Pada 22 Julai lepas, beliau dilaporkan berkata Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan Kluster itu di atas sebuah kapal di Pelabuhan Klang, melibatkan seorang anak kapal warga Rusia (kes ke-8,769) yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara Mesir dan India.

Katanya, kluster itu dikenal pasti susulan saringan COVID-19, yang dijalani oleh kru kapal itu sebelum pulang ke negara asal. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas