Artikel

KKD, MCMC giat program literasi digital untuk golongan OKU

FAHMI (tengah) mahu golongan OKU mengusai aspek kesedaran Internet, keusahawanan digital dan pemerkasaan digital sebagai persiapan untuk meneruskan keterlibatan dalam ekosistem digital.
- Diterbit 10 November 2023 1:45 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY

USAHA membangunkan potensi setiap golongan masyarakat khususnya Orang Kurang Upaya (OKU) sering menjadi perhatian kerajaan. Tidak sekadar menjaga kebajikan golongan tersebut, pembiayaan dalam bidang kemahiran dan galakan menceburi dunia keusahawanan turut menjadi agenda kerajaan demi memastikan golongan ini mampu berdikari.

Menurut sumber Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), OKU berdaftar di Malaysia sehingga 30 September 2023 adalah seramai 674,892 orang manakala menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 15 peratus daripada penduduk sesebuah negara adalah OKU. Ini bermakna, di Malaysia, kira-kira 4.8 juta penduduk adalah daripada komuniti OKU.

Selari dengan peredaran zaman serta perkembangan era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), golongan OKU juga tidak harus tertinggal memandangkan mereka juga perlu menguasai teknologi meskipun berdepan dengan kepayahan dalam pergerakan dan sebagainya.

Bagi menyantuni golongan OKU, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menganjurkan Program Pemerkasaan Orang Kurang Upaya (OKU) Celik Digital yang julung kali diadakan di Lembah Pantai baru-baru ini.

Inisiatif ini dijalankan bagi memperbanyakkan program literasi digital untuk golongan OKU yang bertujuan sebagai serampang dua mata iaitu untuk menghentikan golongan OKU menjadi mangsa scammer dan pada masa untuk membantu meningkatkan tahap penguasaan teknologi maklumat.

Program Pemerkasaan OKU Celik Digital ini merupakan antara usaha kerajaan untuk menghubungkan komuniti OKU dengan agensi kerajaan selaras aspirasi Malaysia MADANI bagi memastikan tiada golongan masyarakat dalam negara ini terpinggir dalam pelaksanaan dasar dan inisiatif kerajaan.

PEDi tawar latihan perniagaan untuk OKU

SUDAH semestinya dengan situasi ekonomi yang tidak menentu di peringkat global khususnya perang di Eropah Timur membabitkan Rusia dan Ukraine serta perubahan iklim yang ekstrem telah mengganggu rantaian perbekalan sekali gus menjejaskan ekonomi. Natijahnya turut dirasai oleh warga tempatan lebih-lebih lagi golongan OKU yang tidak mempunyai keupayaan dalam menghadapi cabaran tersebut.

Menurut Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, melalui pelaksanaan program pembangunan dan pemerkasaan digital belia OKU yang dilakukan membolehkan mereka menggunakan peluang sebaik mungkin dan meningkatkan kebolehpasaran OKU dalam pekerjaan.

“Program ini menekankan empat objektif utama iaitu meningkatkan kesedaran serta advokasi kepada komuniti khususnya OKU tentang penggunaan teknologi digital secara positif dan bijak serta memberikan pendedahan kepada komuniti berhubung kewaspadaan jenayah siber.

“Objektif ketiga adalah untuk mendidik dan melindungi pengguna Internet daripada risiko dan ancaman dalam talian dan keempat adalah untuk meningkatkan tahap literasi digital masyarakat, sekali gus melibatkan diri secara aktif dalam ekosistem digital,” katanya ketika berucap merasmikan Program Pemerkasaan OKU Celik Digital di Pusat Komuniti IWK Eco Park di Lembah Pantai baru-baru ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Pembangunan Industri MCMC, Muhammad Razali Anuar.

Ujar beliau, kesemua objektif tersebut dapat dicapai melalui perkongsian beberapa modul yang merangkumi tiga aspek iaitu kesedaran Internet, keusahawanan digital dan pemerkasaan digital.

“Modul-modul disampaikan oleh beberapa agensi kerajaan dan swasta yang terdiri daripada MCMC, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), MYNIC, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Shopee dan lain-lain,” katanya.

Fahmi berkata kerajaan melalui MCMC telah memperkenalkan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) sebagai pusat transformasi digital bagi masyarakat di luar bandar dan kawasan miskin bandar untuk memperkasakan diri ke arah pendigitalan yang inovatif dan berdaya saing.

“Buat masa ini, terdapat 911 kemudahan PEDi di seluruh negara yang menyediakan peluang untuk golongan sasar meningkatkan taraf sosioekonomi mereka melalui platform ekonomi digital.

“Kemahiran mengusahakan perniagaan dalam talian menerusi penggunaan Internet dalam kalangan masyarakat luar bandar dan miskin bandar adalah sejajar aspirasi Malaysia MADANI,” ujar beliau.

Menurut Fahmi, kemudahan PEDi yang disediakan juga boleh dimanfaatkan oleh semua lapisan masyarakat dengan mengikuti siri latihan dan program yang ditawarkan untuk mendalami bidang ekonomi digital dan menggunakannya sebagai platform memajukan diri dan sosioekonomi setempat.

“Sebagai contoh, baru-baru ini PEDi Sri Pantai dengan kerjasama Cawangan Komunikasi Penghakupayaan Orang Kurang Upaya, Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat, Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) telah menawarkan sembilan Program MyCekap Belia: Bengkel Pemerkasaan Digital di PEDi.

MOHAMAD NAZRI

“Program tersebut melibatkan seramai 93 orang peserta terdiri daripada komuniti OKU Fizikal, OKU Penglihatan, OKU Pendengaran, OKU Pembelajaran dan OKU Pelbagai (iaitu dua atau lebih kategori ketidakupayaan) di Kuala Lumpur, Putrajaya, Alor Setar, Kedah, Kota Bharu, Kelantan, Kuala Terengganu dan Sabah serta program sama akan dilaksanakan di Negeri Sembilan dan Selangor pada bulan ini,” katanya.

Tambah Fahmi, melalui program berkenaan, para peserta OKU diberi latihan untuk mendigitalkan perniagaan mereka menggunakan Facebook Page Marketing, laman sesawang Canva, WhatsApp Business dan TikTok.

Sementara itu, Mohamad Nazri Mohd Rafi, 22, yang menjalankan perniagaan atas talian menyambut baik program literasi ini yang bertujuan membantu golongan OKU sepertinya yang sebelum ini dianggap terpaksa bergantung dengan bantuan kerajaan untuk kelangsungan hidup.

“Saya melihat inisiatif ini tidak meminggirkan golongan OKU seperti saya. Banyak peluang dan latihan khusus untuk OKU berniaga yang mesti diambil peluang untuk membangunkan kebolehan diri sendiri demi masa depan.

“Selain itu, selepas ini akan ada bantuan-bantuan lain untuk golongan seperti saya maju dalam perniagaan dan mampu hidup dengan lebih baik seperti individu normal yang lain,” ujaynya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas