Artikel

Memori indah Globe Silk Store

GEDUNG pakaian Globe pernah menjadi fenomena kepada warga kota membeli pakaian dan kelengkapan untuk sambutan hari perayaan. - Gambar hiasan
- Diterbit 10 November 2023 1:40 AM MYT

Oleh ADI TUAH

GLOBE Silk Store atau Gedung Pakaian Globe. Nama ini bermain di bibir orang ramai di ibu kota Kuala Lumpur sekitar awal tahun 50-an hingga awal tahun 2000. Ia terkenal sebagai pusat sehenti membeli pelbagai jenis pakaian lelaki, wanita dan kanak-kanak serta pelbagai kelengkapan rumah.

Tanyalah kepada mereka yang melalui kehidupan di zaman kegemilangan Globe Silk Store atau dikenali dengan nama ringkas Globe. Adi percaya boleh dikatakan semua tahu gedung pakaian popular tersebut dan sering mengunjunginya.

Pada awalnya premis perniagaan ini terletak di celah premis perniagaan lain di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), yang dahulu dikenali dengan Jalan Batu atau Batu Road. Kedudukannya berhampiran pawagam Coliseum yang wujud sejak tahun 1920, pawagam tertua di ibu negara.

Generasi masa kini mungkin tidak mengenali Globe kerana tidak membesar di zaman kehebatannya. Tentunya mereka lebih mengenali gedung membeli-belah hebat dan ternama lain di seluruh pelosok Kuala Lumpur. Tempat tersebutlah yang menjadi tumpuan mereka.

Apatah lagi nama Globe Silk Store sudah tiada lagi untuk tatapan generasi kini. Yang tinggal hanya bekas premis perniagaan asal dan bangunan premis selepas berpindah, juga di Jalan TAR, yang kini dimiliki orang lain.

Hasil rujukan Adi mendapati masalah kewangan dan persaingan sengit perniagaan daripada gedung beli-belah lain antara punca utama nama Globe tenggelam sehingga menutup perniagaan. Antara yang berdiri hampir ialah Sogo, Kompleks Pertama dan Kompleks Campbell.

Globe pada awalnya bukanlah sebuah pusat membeli-belah besar yang beroperasi daripada bangunan tersergam. Ia hanya unit kedai di antara deretan kedai lain di Jalan TAR. Kerana itu apabila pengunjung ramai keadaan sesak.

Orang luar sanggup datang dari jauh untuk membeli-belah kerana mengetahui kehebatan Globe. Secara tidak langsung, Globe jadi daya penarik untuk mereka datang membeli-belah sambil melancong ke beberapa lokasi menarik di ibu kota.

Begitulah hebatnya nama Globe ketika itu. Ia popular dan menjadi tumpuan walaupun pada masa itu belum ada media sosial atau istilah viral untuk mempromosikan gedung pakaian tersebut. Promosi lebih dari mulut ke mulut atau melalui surat khabar.

Pendek kata banyak yang diperlukan ada di Globe. Selain pelbagai pakaian siap, kain ela untuk dibuat pakaian ada dijual. Juga terdapat kelengkapan pakaian sekolah seperti baju dan seluar, kain, stokin dan kasut.

Untuk menyerikan rumah, disediakan keperluan kelengkapan rumah seperti kain untuk langsir, cadar, sarung bantal, selimut dan lain-lain. Kesemuanya dijual dengan harga berpatutan. Faktor harga ini juga salah satu daya penarik berkunjung ke Globe.

Bagi pakaian wanita, pelbagai fesyen disediakan, daripada baju kurung hinggalah ke pakaian tidur, dalam lingkungan harga mampu. Pendek kata segala keperluan pakaian, luar dan dalam disediakan untuk pengunjung. Pilih sahaja mana yang berkenan di hati.

Berdasarkan sambutan hangat ini, boleh dikatakan sepanjang masa Globe dipenuhi pengunjung. Suasana ini lebih ketara menjelang hari perayaan, misalnya Hari Raya Aidilfitri. Pengunjung datang bertali arus membuat persiapan membeli keperluan untuk hari raya.

Ini menyebabkan premis tersebut sesak dan perlu berbaris panjang sewaktu hendak membayar. Tambahan lagi pada waktu itu pembayaran adalah lebih secara tunai. Tidak ada penggunaan kad debit atau QR. Akibatnya premis tersebut sesak.

Menurut rujukan yang Adi buat, Globe diasaskan oleh Tirathdas Jethenand yang berasal dari Sind, India. Beliau berhijrah ke Malaya pada 1928. Sind kini di bawah pentadbiran Pakistan. Ketika berhijrah, Tirathdas berusia 18 tahun dengan berbekalkan wang saku 500 Rupee (RS 500), lebih kurang RM8.50.

Walaupun berbekal wang saku yang sedikit, dia bekerja kuat mengumpul duit. Hasil usaha keras, dua tahun kemudian pada 1930, dia membuka perniagaan tekstil di Segamat Johor, yang merupakan pangkalan asal perniagaannya.

Perniagaan ini beroperasi dari sebuah rumah kedai yang disewa dengan harga RM40 sebulan. Tirathdas memberi nama perniagaannya Globe Silk Store. Itulah permulaan sejarah Globe.

Pada tahun 1947, Globe berpindah dari Segamat ke Batu Road, Kuala Lumpur untuk mengembangkan perniagaan memandangkan potensi untuk maju lebih terserlah di ibu kota. Globe beroperasi dari premis perniagaan di antara deretan kedai lain.

Bertahun-tahun Globe beroperasi dari premis tersebut meniti kegemilangan. Namun jumlah pelanggan yang kian bertambah menyebabkan pihak pengurusan merasakan premis sedia ada sudah sempit. Ekoran itu Globe berpindah ke premis bertingkat-tingkat yang lebih besar dan selesa, tidak jauh dari lokasi asal.

Namun langit tidak selalu cerah. Globe yang hebat menghadapi saingan daripada gedung pakaian lain yang menyaksikan perniagaan merosot. Pemiliknya, Tan Sri Kishu Jethenand juga berdepan dengan kemelut undang-undang dan menghadapi tindakan mahkamah berhubung penjualan bangunan perniagaan.

Berikutan kemelut ini, akhirnya Globe menutup pintu perniagaan pada 2005 selepas kreditor atau bank pemberi pinjaman memperoleh perintah likuidasi atau liquidation order daripada mahkamah. Setelah beberapa isu berhubung undang-undang diselesai, pada 2007, sebuah syarikat difahamkan dari Singapura, mengambil alih Globe. Serentak itu Globe dinamakan semula sebagai Sarah Hughes@Globe. Mungkin nama Globe dipertahan memandangkan ia sudah sebati di jiwa pelanggan dan kerana itu dikekalkan sebagai memori.

Begitulah sejarah Globe. Setelah beroperasi dengan cemerlang selama 75 tahun akhirnya ia menutup perniagaan. Yang tinggal hanya memori indah di kalangan mereka yang suatu ketika dahulu menjadi pengunjung setia Globe.

Adi—Kenangan mengusik jiwa di Globe. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas