Khairulnizam di landasan tepat di sebalik cabaran cuaca buruk
KHAIRULNIZAM mencatat keputusan positif dalam setiap tiga perlumbaan selepas menamatkan saingan di kedudukan ke-29 (perlumbaan keempat) sebelum menduduki tempat ke-18 dan ke-13, masing-masing dalam perlumbaan kelima dan keenam. Gambar: Berita Harian

Khairulnizam di landasan tepat di sebalik cabaran cuaca buruk

BIARPUN berdepan cabaran ombak tinggi dan angin kuat dalam enam perlumbaan pertama, atlet pelayaran negara Khairulnizam Mohd Afendy berada di landasan tepat untuk mencapai objektif diletakkan ke atasnya, di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Menyasarkan kedudukan 20 terbaik, jurulatih kebangsaan Mohd Afendy Abdullah berkata peluang Khairulnizam tampak cerah, jika beliau berjaya berada dalam kelompok 15 pelayar terbaik dalam setiap daripada empat baki perlumbaan di Enoshima Yacht Harbour.

Namun, jadual dua perlumbaan terakhir yang dijadual berlangsung pada sebelah petang Jumaat ini menjadi kebimbangan terbesar Mohd Afendy, apabila berdasarkan pemerhatiannya kelajuan angin akan berkurang pada waktu itu.

“Khairulnizam bila angin tak ada saya cukup risau, angin ada dia boleh buat bagus,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

“Perlumbaan ketujuh dan kelapan tidak ada masalah sebab perlumbaan bermula awal, tapi pada Jumaat ia bermula pada 2.30 petang (waktu Jepun) dan ketika itu angin dan mula berkurangan,” tambah beliau yang berpuas hati dengan prestasi Khairulnizam setakat enam perlumbaan.

Pada aksi hari ini, pemenang pingat perak Sukan Asia 2014 dan 2018 itu, mencatat keputusan positif dalam setiap tiga perlumbaan selepas menamatkan saingan di kedudukan ke-29 (perlumbaan keempat) sebelum menduduki tempat ke-18 dan ke-13, masing-masing dalam perlumbaan kelima dan keenam.

Selepas enam siri perlumbaan, Khairulnizam, 28, kini berada di kedudukan ke-26 daripada 35 peserta dengan mengumpul 99 mata bersih, sementara Pavlos Kontides dari Cyprus mengungguli ranking dengan 18 mata bersih, diikuti wakil Australia Matt Wearn (27 mata) dan Robert Scheidt dari Brazil (33 mata).

Sementara itu, dalam acara Laser Radial wanita, atlet muda sensasi negara Nur Shazrin Mohamad Latif terus bergelut untuk mengulangi prestasi cemerlang dalam perlumbaan pertama pada Ahad lepas, selepas menamatkan perlumbaan kelima dan keenam hari ini di kedudukan ke-30 dan ke-34.

Keputusan itu menyaksikan Nur Shazrin, 23, jatuh tujuh anak tangga di kedudukan ke-24 mengumpul 105 mata bersih, dengan mempunyai baki empat perlumbaan selepas ini.

Atlet Denmark Anne-Marie Rindom menerajui kedudukan ranking dengan mengutip 22 mata sementara Josefin Olsson dari Sweden (34 mata) dan Marit Bouwmeester dari Belanda (35 mata) di kedudukan kedua dan ketiga. – BERNAMA

CATEGORIES