COVID: 207 kematian hari ini, dua hari berturut-turut kematian tertinggi
MALAYSIA mencatatkan angka kematian yang sama dicatatkan semalam menjadikan jumlah keseluruhan kematian di negara ini sebanyak 8,408 kes. Gambar: Utusan Malaysia

COVID: 207 kematian hari ini, dua hari berturut-turut kematian tertinggi

MALAYSIA mencatatkan kematian harian tertinggi untuk dua hari berturut-turut sejak penularan COVID-19 di negara ini dengan 207 kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas, selepas angka yang sama dicatat semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata pertambahan kes itu menjadikan jumlah keseluruhan kematian di negara ini sebanyak 8,408 kes atau 0.81 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau berkata kes kematian hari ini membabitkan 181 warganegara, manakala 26 lagi warga asing.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata daripada 16,117 kes baharu hari ini, kategori lima iaitu kes kritikal dan menggunakan ventilator adalah sebanyak 87 kes atau 0.5 peratus dengan 95.4 peratus tiada sejarah vaksinasi.

Katanya kategori empat yang memerlukan bantuan oksigen adalah sebanyak 124 kes atau 0.8 peratus dengan 83.9 peratus tiada sejarah vaksinasi.

“Kategori tiga melibatkan radang paru-paru sebanyak 135 kes atau 0.8 peratus dengan 73.3 peratus tiada sejarah vaksinasi.

“Bagi kategori dua dengan gejala ringan sebanyak 6,710 kes atau 41.6 peratus dengan 79.5 peratus tiada sejarah vaksinasi manakala kategori satu tiada gejala merekodkan sebanyak 9,061 kes atau 56.3 peratus dengan 94.4 peratus tiada sejarah vaksinasi,” katanya.

Beliau berkata dapatan itu adalah berdasarkan keadaan klinikal pesakit semasa baharu didiagnosis  COVID-19.

“Ada antara mereka kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status sama ada bertambah baik atau merosot ke kategori lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata secara keseluruhannya, pada permulaan diagnosis, 2.1 peratus kes dilaporkan hari ini berada pada kategori tiga hingga lima (82.7 peratus tiada sejarah vaksinasi) dan 97.9 peratus kes pada kategori satu dan dua (88.1 peratus tiada sejarah vaksinasi). – BERNAMA

CATEGORIES