Berita

Keupayaan APMM dipertingkat melalui perolehan aset baharu

- Diterbit 15 Februari 2021 4:08 AM MYT

KEUPAYAAN Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan diperkasakan menerusi perolehan aset baharu antaranya kapal ronda persisiran pantai, pesawat udara dan pelbagai pembangunan infrastruktur, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata APMM melaksanakan operasi seperti Op Naga dan Op Kuda Laut dan telah berjaya menangkap serta menggagalkan banyak aktiviti bot nelayan haram, penyeludupan dadah serta manusia sepanjang 2020.

Menerusi Op Benteng yang dipantau bersama agensi-agensi kerajaan, APMM berjaya menangani kemasukan migran asing secara haram ketika pandemik COVID-19, katanya.

“Kerajaan sentiasa mengiktiraf peranan APMM di samudera negara dalam memastikan keamanan, keselamatan dan kesejahteraan negara.

“Saya juga yakin APMM akan terus serius melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan,” katanya ketika berucap sempena sambutan Hari Ulang tahun ke-16 Maritim Malaysia secara dalam talian di laman Facebook APMM hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata APMM menahan 75 bot nelayan asing serta 820 kru warga asing menceroboh perairan negara dengan nilai rampasan berjumlah RM112.5 juta menerusi Op Kuda Laut sejak 24 Jun hingga 31 Dis tahun lepas.

“Ternyata, komitmen, kesungguhan dan keseriusan kita dalam menggalas tugas serta tanggungjawab telah membuahkan kejayaan walaupun berhadapan dengan risiko dijangkiti COVID-19,” katanya.

Menurutnya, 31 warga APMM dan 20 ahli keluarga mereka telah disahkan positif COVID-19 dan mereka kini telah pulih sepenuhnya.

“Apa yang ingin saya tekankan di sini ialah ia merupakan gambaran keseriusan warga APMM dalam memerangi ancaman pencerobohan walaupun terpaksa berhadapan dengan risiko COVID-19,” katanya.

Sempena sambutan Hari Ulang Tahun ke-16 Maritim Malaysia bertemakan ‘Kami Serius Melaksanakannya’, seramai 377 pegawai menerima anugerah perkhidmatan cemerlang selain sembilan pegawai dan lapan anggota dianugerahkan reben penghargaan ketua pengarah. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas