Berita

Soniia bertekad pamerkan prestasi berbeza di kejohanan Eropah

- Diterbit 15 Februari 2021 5:24 AM MYT

SELEPAS digugurkan daripada pasukan badminton kebangsaan, pemain perseorangan wanita Soniia Cheah bertekad untuk membuktikan kemampuan dirinya dalam dua kejohanan di Eropah bulan depan.

Pemain berusia 27 tahun itu yang mengesahkan penyertaannya dalam Terbuka Swiss bermula 2 hingga 7 Mac dan All England (17 hingga 21 Mac) berkata beliau akan membawa corak pemikiran berbeza di kedua-dua kejohanan berkenaan.

“Memandangkan peluang terhidang di depan mata, saya akan rebut peluang ini dan lakukan yang terbaik. Ini merupakan perjalanan yang berbeza untuk saya, jadi saya akan ubah corak pemikiran saya bagi mengejar impian dan demi kerjaya saya.

“Saya bertekad untuk bermain di Olimpik Tokyo, namun sekarang saya perlu cari penajaan agar dapat meneruskan usaha mengejar impian ke Olimpik,” kata pemain ke-32 dunia itu kepada Bernama.

Secara teknikalnya, Soniia yang merupakan pemain perseorangan wanita nombor satu negara serta berkedudukan ke-26 dalam ‘Race to Tokyo Ranking’, sudah layak ke Olimpik Tokyo.

Pemenang pingat perak Sukan SEA 2017 itu antara lima pemain senior yang digugurkan oleh Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan  Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 7 Feb lalu susulan semakan prestasi.

BAM bagaimanapun bersetuju menanggung kos tiga pemain untuk menyertai dua kejohanan Eropah berkenaan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas