Berita

Ketua Polis Selangor nafi dakwaan lelaki dipukul, dikasari semasa di balai

KETUA Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata semasa proses tangkapan terhadap suspek, telah berlaku pergelutan dan pihak polis terpaksa menggunakan kekerasan paling minimum. Kredit foto: Bernama
- Diterbit 16 Jun 2021 6:14 AM MYT

POLIS menafikan dakwaan seorang lelaki yang beliau dipukul dan dikasari semasa hadir ke ibu pejabat Polis Daerah Serdang untuk rakaman percakapan bersabit satu laporan yang dibuat isterinya berkaitan keganasan rumah tangga, minggu lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata pada hari kejadian lelaki berkenaan yang terserempak dengan isterinya semasa berada di balai telah bertindak agresif dan mengugut akan membunuh isterinya itu.

Beliau berkata polis telah menasihatkan lelaki itu agar jangan membuat bising di kawasan balai polis, namun dia tidak mengendahkan nasihat yang diberikan dan telah mengeluarkan kata-kata kesat kepada polis iaitu “Polis bodoh”.

“Semasa proses tangkapan terhadap suspek, telah berlaku pergelutan dan pihak polis terpaksa menggunakan kekerasan paling minimum,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam sebuah portal berita melaporkan seorang bekas pengurus bengkel Joseph Prakash Sukumaran mendakwa dia dipukul dan dikasari semasa berada di ibu pejabat polis berkenaan.

Arjunaidi berkata suspek didapati mempunyai lapan rekod jenayah lampau meliputi pelbagai kesalahan jenayah termasuk kekerasan serta narkotik, dan ujian saringan awal polis mendapati suspek positif dadah jenis Methapethamine.

Beliau berkata suspek didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 11 Jun lepas mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967, di samping menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Menurutnya suspek tidak mengaku salah dan dibebaskan dengan jamin mahkamah.

“Sejurus dibebaskan, pada hari yang sama lelaki itu telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Bandar Kinrara mengatakan telah dipukul dan dikasari oleh pihak polis semasa hadir memberi keterangan bersabit kes keganasan rumah tangga,” katanya.

Arjunaidi berkata satu Kertas Siasatan Enkuiri Polis (KEP) telah dibuka bagi menjalankan siasatan terhadap laporan yang dibuat dan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor telah mengambil alih siasatan KEP ini. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas