Berita

252 gelandangan terima vaksin COVID-19 melalui Program Vaksin Bergerak

- Diterbit 16 Jun 2021 6:24 AM MYT

SERAMAI 252 gelandangan telah menerima suntikan vaksin COVID-19 melalui Program Vaksin Bergerak yang diperkenalkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP).

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa, Program Vaksinasi melalui pelaksanaan Fasa 2 Trak Vaksin Bergerak MyMedic@Wilayah diteruskan dengan melibatkan kumpulan gelandangan memandangkan mereka sering terdedah kepada jangkitan wabak COVID-19.

“Seramai 133 gelandangan telah selesai menjalani Ujian Saringan COVID-19 dan dijadualkan menerima suntikan vaksin COVID-19 dos pertama pada 22 Jun tahun ini di Pusat Komuniti Setiawangsa, Kuala Lumpur.

“Kumpulan gelandangan diberikan vaksinasi COVID-19 awal, memandangkan mereka sering terdedah kepada jangkitan COVID-19. Jika dibiarkan berkeliaran tanpa perlindungan,risiko penyebaran wabak adalah tinggi,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Jelasnya lagi dalam usaha memastikan setiap gelandangan di ibu kota menerima vaksin serta mengekang penularan wabak COVID-19 secara keseluruhan, dos kedua turut diberikan kepada 119 orang gelandangan di Anjung Kelana, Kuala Lumpur yang telah menerima dos pertama vaksin pada 27 Mei lalu.

Ujarnya program yang dijalankan adalah dengan kerjasama Dewan Baandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta dikawal selia oleh PDRM, APM, anggota penguatkuasa DBKL dan RELA bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Annuar turut berkata bahawa kementerian akan memperluaskan penggunaan trak vaksin bergerak ke tempat-tempat yang sukar diakses agar imuniti kelompok boleh dicapai menjelang Ogos ini.

“Kementerian turut memperluaskan penggunaan Trak Vaksin Bergerak MyMedic@Wilayah ke tempat yang sukar diakses sekitar Wilayah Kuala Lumpur bagi memudahkan lokaliti tersebut menerima vaksin.

“Adalah menjadi matlamat utama kerajaan untuk mencapai sasaran 80 peratus populasi warga Wilayah Persekutuan divaksin menjelang Ogos 2021 agar imuniti kelompok boleh dicapai,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas