MENYOROT perjalanan Kerajaan Perpaduan di bawah teraju Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga hari ini, prinsip tata kelola dan anjakan paradigma merupakan dua komponen utama yang sering dilontarkan untuk merencana perubahan dalam pentadbiran demi menjamin kemakmuran, kestabilan dan kemajuan negara.
Beliau dan pasukannya amat mementingkan agenda rakyat agar tiada yang tertinggal dalam arus pembangunan. Malah, giat berusaha demi memastikan hasrat dan harapan rakyat dapat dipenuhi meskipun berdepan dengan cabaran kelembapan ekonomi.
Pelbagai polisi baharu diperkenalkan sejak sembilan bulan mentadbir bagi membela rakyat khususnya daripada golongan miskin tegar, B40, petani, penternak, pekebun kecil dan lain-lain agar golongan ini tidak tercicir sekali gus mampu berdikari dalam meneruskan kelangsungan hidup.
Saban waktu, pelbagai berita positif meredakan kegelisahan rakyat antaranya pengurangan kadar pengangguran kepada 3.5 peratus dan penurunan inflasi kepada 2.8 peratus berbanding 4.0 peratus sekali gus berjaya meredakan tekanan ekonomi yang membelenggu rakyat sebelum ini.
Pencapaian tersebut dicetuskan melalui inisiatif Kerajaan Perpaduan yang digarap bersama-sama demi membela rakyat yang sebelum ini terhimpit dan terkesan disebabkan pandemik COVID-19.
Tidak terhad kepada bantuan untuk rakyat semata-mata, inisiatif ini turut diberikan kepada Institusi Agama Islam termasuklah bantuan, penyelenggaraan dan naik taraf bagi mengembangkan ajaran Islam.
Selain itu, inisatif Kerajaan Perpaduan bertindak sebagai pemangkin kepada kecerdasan ekonomi dengan jumlah pelaburan negara meningkat sekali gus memberikan sentimen positif terhadap keupayaan negara dalam menangani kelembapan ekonomi di rantau ini.
Dengan kemakmuran dan kestabilan politik yang dikecapi kini, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah memperolehi komitmen pelaburan di dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan bernilai RM71.4 bilion yang merintis kira-kira 1,265 projek baharu dengan 23,977 peluang pekerjaan.
Dalam lawatannya ke China, Perdana Menteri berjaya meraih keyakinan dan komitmen pelaburan sebanyak RM170 bilion hasil daripada 19 memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara syarikat Malaysia dengan China di dalam bidang pembuatan kereta generasi dan industri halal. Jumlah pelaburan itu disifatkan tertinggi dalam sejarah dan negara bakal menerima manfaat tenaga mahir dan profesional untuk warga tempatan.
Malaysia juga turut memperolehi komitmen pelaburan dalam bidang digital dan teknologi bernilai RM8.3 bilion dengan jaminan 1,800 peluang pekerjaan.
Kestabilan politik dan rekonsiliasi politik ini telah menyejukkan suhu politik dalam negara dan pada masa sama membuka lembaran baharu dan memberikan kejayaaan lebih bermakna kepada seluruh rakyat. – WILAYAHKU