Berita

DBKL batal lesen niaga penjaja jika serah pada warga asing – Anwar

ANWAR beramah mesra dengan komuniti India di D’Medan Selera Madani Kompleks Tun Sambanthan, Brickfields.
- Diterbit 7 September 2023 11:20 AM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ­menegaskan mana-mana penjaja yang didapati memberikan lesen perniagaan kepada ­warga ­asing akan dibatalkan dan ­diserahkan kepada pihak lain oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Beliau berkata langkah tersebut diambil bagi memastikan peraturan tersebut dipatuhi supaya ia boleh memberi manfaat kepada peniaga tempatan.

“Saya minta penguatkuasaan ditingkatkan terhadap ­gerai-gerai yang mendapat kelulusan niaga supaya mereka mengikut ­peraturan dan lesen tersebut diberikan ­kepada warga tempatan.

“Saya tegaskan sekali lagi, lesen yang diberikan kepada ­peniaga ­tempatan mesti digunakan oleh orang tempatan, kalau didapati diberikan kepada warga asing, kita batalkan dan serahkan kepada orang lain,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Lestari Niaga@Kuala Lumpur di D’Medan Selera Madani Kompleks Tun Sambanthan, Brickfields ­baru-baru ini.

Pada program tersebut, Anwar turut mengumumkan peruntukan tambahan RM10 juta bagi menaik taraf gerai dan warung di seluruh Kuala Lumpur.

Lestari Niaga@Kuala Lumpur yang merupakan inisiatif Kerajaan Madani dalam menaik taraf dan mengindahkan fasiliti gerai-gerai peniaga kecil dan penjaja sedia ada di Wilayah Persekutuan menjadi lebih kondusif dan selesa.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Sr Kamarulzaman Mat Salleh ­berkata DBKL akan melaksanakan ­kerja-kerja pengindahan di dua ­lokasi iaitu D’Medan Selera Madani, Kompleks Tun Sambanthan dan Kedai Bunga Little India, Brickfields yang melibatkan ­sejumlah 71 peniaga.

“Kerja-kerja pengindahan yang dilaksanakan termasuk pengindahan fasad, penambahbaikan bumbung, kerja-kerja mengecat ­semula ­bangunan dan mengecat mural, penggantian kipas dan lampu yang baru, penggantian paip-paip air dan pemasangan papan tanda,” ­kata beliau.

Ujar Kamarulzaman, inisiatif ini menunjukkan keseriusan ­kerajaan dalam menerapkan Gagasan Malaysia Madani kepada semua ­lapisan masyarakat.

“DBKL akan terus ­berusaha menyediakan kemudahan awam yang selesa, bersih dan ­diharapkan dapat memperkasa serta meningkatkan pendapatan ­peniaga seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan sosioekonomi ­negara,” jelas beliau.

Kamarulzaman berkata ­terdapat enam pusat penjaja dan gerai ­milik DBKL di kawasan Brickfields ­iaitu di Kompleks Tun Sambanthan, Medan Selera Tempat Letak Brickfields, Kedai Bunga Little India, Kedai Burung Little India, Little India Seri Kota dan kedai bunga di Jalan Scott.

“Terdapat sejumlah 80 lesen premis persendirian di ­kawasan Little India, Brickfields di ­mana daripada jumlah tersebut 56 peratus iaitu 45 premis perniagaan diusahakan oleh kaum India.

“Di Kompleks Tun Sambanthan ini, 88 peratus bersamaan 47 unit adalah dimiliki oleh kaum India. Begitu juga di lima kawasan yang lain majoritinya dimiliki oleh kaum India,” ujar beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas