Berita

Keselamatan pengunjung diutamakan – PPKM

TEO
- Diterbit 2 Oktober 2020 8:55 AM MYT

SUSULAN beberapa pekerja di kompleks beli-belah sekitar Kuala Lumpur dan Selangor disahkan positif COVID-19 baru-baru ini, Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPKM) tekad mengetatkan aspek kebersihan di premis seliaannya.

TEO

Presidennya, Tan Sri Teo Chiang Kok berkata, pelindungan dan kesejahteraan pekerja serta pengunjung merupakan keutamaan pihaknya, oleh itu kesemua langkah untuk mengelakkan jangkitan COVID-19 dilaksanakan.

“Beberapa tindakan mengikut panduan Kementerian Kesihatan (KKM) telah dan akan sentiasa dilakukan selain memastikan setiap premis menjaga kebersihan serta melakukan sanitasi dengan teliti.

“Pihak pengurusan pula membuat pengesanan kontak, pemantauan suhu dan pemakaian pelitup muka, penyediaan pembersih tangan di pintu masuk premis serta tempat strategik lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, pembeli dan pengunjung juga akan melakukan prosedur operasi standard (SOP) seperti di pintu masuk utama setiap kali mereka ingin memasuki outlet.

“Pemeriksaan tambahan itu dapat meningkatkan keyakinan dan keselamatan pengunjung. Kami yakin bahawa pandemik yang belum pernah terjadi sebelum ini akan diatasi dalam waktu terdekat dengan perhatian ketat dan koordinasi pihak berkuasa, masyarakat serta komuniti perniagaan setempat,” katanya.

Katanya lagi, setiap kompleks beli-belah juga akan sentiasa melakukan hebahan awam bagi tujuan pendidikan kepada pengunjung dan pekerja.

“Ia bertujuan untuk mengingatkan pembeli dan pengunjung tentang perlunya mematuhi SOP. Di samping itu papan tanda peringatan mengenai jarak fizikal, kebersihan dan lainlain yang berkaitan turut disediakan.

“Kami juga akan menggunakan media sosial untuk memberi maklumat kepada pembeli mengenai apa yang berlaku di pusat beli-belah dan menyebarkan SOP yang didokumentasikan sebagai komitmen terhadap amalan dan pematuhan,”
katanya.

Terdahulu, bilangan kes positif COVID-19 yang dilaporkan baru-baru ini melibatkan kakitangan di lima pusat beli-belah di Lembah Klang.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas