Berita

DPIM fokus bantu ahli terkesan akibat COVID-19

- Diterbit 2 Oktober 2020 9:51 AM MYT

PRIHATIN terhadap nasib dihadapi oleh kalangan usahawan Muslim yang berdaftar dengan Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) di Putrajaya, berdepan penularan pendamik Covid-19, satu siri taklimat berkaitan kemudahan kewangan telah diadakan untuk membantu setiap ahli terkesan.

Bagi Presiden DPIM, Mohammad Sahar Mad Din, fokus utama ketika ini adalah membantu semua ahli iaitu seramai 114 usahawan di Putrajaya bagi mendapatkan maklumat tepat dan relevan dalam memilih instrumen kewangan yang bersesuaian.

Beliau berkata, siri taklimat Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) diadakan kali ini menampilkan  RHB Bank Berhad, sebagai antara pilihan institusi kewangan komersil yang menawarkan pelbagai jenis kemudahan perbankan.

“Kesemua ahli DPIM di Putrajaya boleh mengenal pasti jenis kemudahan kewangan diperlukan oleh mereka sebagai menampung keperluan pusingan modal perniagaan yang telah terjejas akibat virus Covid-19.

“Siri taklimat SME dilaksana DPIM secara berkala mengikut kesesuaian dan keperluan ahli seramai lebih 2,000 usahawan dalam pelbagai perniagaan di seluruh negara,” katanya dalam perasmian sesi Mesyuarat Agung Tahunan Ke-15 DPIM Putrajaya, di Shaftesbury, baru-baru ini.

Mesyuarat Agung yang diadakan setiap tahun itu adalah sebagai syarat bagi memenuhi keperluan perlembagaan DPIM ditubuhkan dengan agenda Jihad Bisnes, Ekonomi Halal dan Wakaf Korporat.

Selain mendapat penerangan khidmat kewangan, siri taklimat tersebut menjadi medium bagi setiap ahli DPIM berkongsi langkah memulakan kembali perniagaan yang terjejas setelah berkuat kuasa Perintah Kawalan Pergerakan mulai Mac lalu.

Dalam pada itu, Mohammad Sahar menjelaskan, selain membantu ahli, DPIM juga kini sedang giat meneroka cabang baharu perniagaan berpotensi diceburi oleh ahli selain mewujudkan kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan.

“Antara peluang niaga yang baharu diteroka DPIM adalah kerjasama dengan pengendali Hotel Seri Malaysia melibatkan pelbagai jenis rantaian bagi perkhidmatan pembekalan dan perhotelan.

“Selain itu kami juga menjalin usahasama dengan institusi pendidikan UNISZA bagi menawarkan pengajian peringkat Ijazah dan Doktor Falsafah (PhD) kepada ahli yang berminat melanjutkan pengajian sebagai salah usaha menggalakkan proses pembelajaran sepanjang hayat,” ujarnya. – OLEH SYAHIDI BAKAR – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas