Selebriti

Kesatuan Wartawan Kebangsaan gesa Hattan mohon maaf

- Diterbit 30 April 2023 6:21 PM MYT

KESATUAN Wartawan Kebangsaan (NUJ) menggesa penyanyi, Datuk Hattan membuat permohonan maaf secara terbuka atas tindakannya menjatuhkan air muka penyampai berita wanita dari Astro Awani ketika siaran secara langsung baru-baru ini.

Presiden NUJ, Farah Marshita Abdul Patah berkata, tindakan memalukan petugas media sama ada artis, ahli politik mahu pun menteri harus dihentikan segera.

“Pendirian NUJ untuk saling menghormati, tidak kiralah senior mahu pun profesion. Setiap individu mempunyai hak dihormati dan ditegur dengan baik sekiranya melakukan kesalahan.

“Dalam isu membabitkan penyampai berita Astro Awani, NUJ menggesa Hattan bertindak lebih profesional sekiranya tidak mahu menjawab soalan diajukan.
“Beliau boleh menolak pertanyaan dengan sopan,” katanya kepada BH Online.

Farah berkata, tindakan memulakan rantaian chain of events di mana orang lain juga boleh bertindak kurang ajar dengan petugas media selepas ini.

“Belajarlah saling menghormati dan tunjukkan teladan baik terutama kepada generasi muda.

“Sehubungan itu, NUJ menggesa Hattan memohon maaf secara terbuka kerana tindakannya menegur ketika siaran langsung bukan sahaja memalukan penyampai berita, malah dilihat memperlekehkan tugas pengamal media.

Dalam hal ini, NUJ memuji penyampai berita berkenaan yang kekal tenang dan profesional,” katanya.

Tambah Farah, tidak salah saling bermaafan apatah lagi pada bulan Syawal ini.

“Industri hiburan di Malaysia tidak besar dan pastinya kita saling memerlukan suatu hari nanti,” katanya.

Terdahulu, nama Hattan panas dan menjadi bahan perdebatan netizen selepas insiden menempelak penyampai berita Astro Awani kerana mendakwa tidak membuat kajian sebelum bertanya soalan.

Menerusi rakaman video yang tular, Hattan atau nama sebenar, Mohd Shukri Shahabudin, 59, dihubungi oleh penyampai berita wanita menerusi siaran secara langsung untuk mendapatkan pandangan mengenai lirik lagu kumpulan XPDC yang dikatakan ‘makan dalam’.

Soalan tersebut diajukan berikutan susulan pemergian vokalis kumpulan XPDC, Syed Ismail Syed Ibrahim atau Mael yang menghembuskan nafas terakhir dalam perjalanan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, Johor akibat sesak nafas kira-kira jam 8.41 pada 27 April baru-baru ini.

Sumber: Berita Harian Online

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas