Berita

CEUPACS minta kerajaan serap pekerja yang telah berkhidmat lebih 10 tahun

- Diterbit 1 Mei 2023 5:39 AM MYT

PRESIDEN Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat meminta kerajaan mempertimbang untuk menyerap kira-kira 30,000 kakitangan kontrak yang sudah berkhidmat lebih 10 hingga 15 tahun secara ‘one off’ ke dalam sektor awam.

Katanya, CUEPACS menerima aduan daripada kakitangan kontrak berkenaan isu itu dan ia sudah pun dibincangkan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Jelas beliau, satu dasar berhubung kakitangan kontrak sudah diluluskan kerajaan bagi membolehkan mereka diberi jawatan tetap apabila sudah berkhidmat 15 tahun ke atas.

“Namun, agak malang apabila sebahagian daripada mereka yang sudah berkhidmat melangkaui 10 tahun secara tiba-tiba tidak disambung dan ditamatkan perkhidmatan

Kakitangan yang ditamatkan perkhidmatan ini sebenarnya mampu untuk berkhidmat lima tahun lagi untuk diserapkan ke jawatan tetap,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Pekerja CUEPACS 2023 di Auditorium Cempaka Sari, Perbadanan Putrajaya pada Ahad.

Hadir sama, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Dr Zulkapli Mohamed dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja Kementerian Sumber Manusia, Kamal Pardi.

Beliau berharap kerajaan dapat meneruskan inisiatif berkenaan dengan melantik mereka sebagai kakitangan tetap selepas berkhidmat 10 hingga 15 tahun.

Kira-kira 800 peserta hadir pada majlis itu bertemakan Pekerja Berintegriti Tunjang Negara Madani. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas