Oleh HAZIRAH HALIM & DIANA AMIR
kANAK-KANAK merupakan golongan yang harus dilindungi namun sikap tidak berperikemanusiaan telah menjadikan mereka mangsa kekejaman nafsu pedofilia yang tidak mampu menahan naluri ketagihan dan rasa ghairah terhadap seks kepada kanak-kanak.
Kes rogol melibatkan kanak-kanak bawah umur di negara ini bukanlah suatu perkara baharu dan ia semakin membimbangkan apabila statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menunjukkan kes jenayah rogol membabitkan golongan ini meningkat secara konsisten sejak beberapa tahun kebelakangan terutama selepas pandemik COVID-19.
Secara spesifikasinya, pedofilia adalah antara kesalahan jenayah seksual kanak-kanak yang telah diperincikan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual kepada Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).
Antara kesalahan-kesalahan yang diperuntukkan dalam akta ini adalah mengantun kanak-kanak secara seksual (grooming), amang seksual fizikal dan bukan fizikal termasuklah kesalahan menyentuh, meraba, menunjukkan video lucah, mengarah mereka melakukan perbuatan seksual dan sebagainya.
Menjelaskan lebih lanjut, Peguambela dan Peguamcara rakan kongsi di Tetuan Nor Zabetha Chinna & Co, Nor Zabetha Muhamad Nor berkata perogol mempunyai rangsangan seksual yang amat tinggi terhadap kanak-kanak selain individu itu menganggap si kecil sebagai sasaran mudah untuk diugut dan dipengaruhi.
“Ia juga turut didorong oleh aktiviti seseorang yang gemar menonton video lucah kanak-kanak serta akses kepada pornografi yang tidak terkawal sehingga membentuk tingkah laku sebegitu.
“Kes jenayah rogol ini dapat dilihat melalui Akta 792 di mana hukumannya adalah lebih berat berbanding kesalahan seksual yang diperuntukkan dalam akta lain iaitu pesalah boleh dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan di bawah seksyen 14 akta berkenaan.
“Berbanding Seksyen 354 Kanun Keseksaan, hukuman penjara adalah 10 tahun maksimum atau denda atau sebatan di bawah kesalahan menggunakan kekerasan jenayah secara fizikal untuk mencabul.
“Manakala, si pelaku yang mempunyai hubungan rapat dengan mangsa seperti ibu bapa, guru, pengasuh atau lain-lain, mereka boleh dijatuhkan hukuman penjara tambahan ke atas hukuman asal iaitu 20 tahun di bawah Seksyen 16 namun jika perbuatan itu melibatkan jenayah yang tidak terkandung di bawah Akta 792, suspek atau tertuduh masih akan didakwa di bawah Kanun Keseksaan bagi kesalahan berdasarkan peruntukan,” jelasnya.
Berpengalaman dalam bidang guaman Nor Zabetha mengendalikan kes jenayah rogol bagi mangsa atau keluarga mereka, beliau turut meneliti bahawa fenomena ini memperlihatkan golongan kanak-kanak seawal usia lima tahun telah terdedah dengan ketagihan seks.
“Saya sendiri banyak mewakili mangsa di mana pelakunya adalah kanak-kanak di bawah 10 tahun yang mengalami ketagihan seks yang tidak terkawal sehingga mendorong mereka mencari mangsa dalam kalangan rakan sebaya atau lebih muda dari usia mereka.
“Namun, tiada akta yang boleh menjatuhkan hukuman terhadap mereka (pesalah bawah umur) dan dikecualikan daripada tuduhan jenayah. Ia juga dapat dibuktikan melalui Seksyen 82 dan Seksyen 83 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan bahawa tidak menjadi kesalahan bagi kanak-kanak berusia antara 10 hingga 12 tahun.
“Malah di bawah Seksyen 66 Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan kanak-kanak berusia 10 tahun ini juga tidak boleh dihantar ke Sekolah Henry Gurney memandangkan mereka masih di bawah umur namun Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) boleh mengambil tindakan dengan memberi khidmat kaunseling kepada mereka,” ujarnya.
Dalam pada itu, media tempatan melaporkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mendedahkan kanak-kanak seawal usia lima tahun terlibat dalam jenayah seksual disebabkan akses pornografi menerusi Internet.
Justeru itu, Nor Zabetha berpandangan poor parenting adalah antara salah satu punca yang menyebabkan kanak-kanak tersebut berani melayari laman web pornografi tanpa pengawalan mana-mana pihak.
“Di zaman ini, banyak bahan-bahan seks yang boleh diakses dengan mudah. Mungkin kanak-kanak ini pernah menonton carian history ibu bapa yang ditinggalkan dalam telefon.
“Oleh itu, ibu bapa adalah individu yang sewajarnya memantau segala kemudahan yang diakses oleh anak-anak agar perkara sebegini tidak berulang,” katanya. – WILAYAHKU