CKK

Kes penipuan scammer

- Diterbit 8 Mac 2024 10:50 AM MYT

WALAUPUN sudah kerap didedahkan penipuan oleh scammer, ia masih belum dapat memberi pengajaran kepada orang ramai agar jangan mudah terpedaya hingga masuk dalam perangkap yang mereka pasang.

Polis juga memberi peringatan mengenai kaedah penipuan ini agar menjadi pedoman kepada orang ramai. Jika nasihat ini dihayati dan dijadikan perisai diri, ia boleh menjadi benteng mengelakkan daripada terpedaya.

Namun sedihnya pendedahan demi pendedahan serta nasihat demi nasihat diberi hanya bagai mencurah air ke daun keladi. Ramai terus terperangkap dengan penipuan, mengakibatkan kerugian puluhan hingga ratusan ribu, malah mencecah jutaan ringgit.

Pengarah Jabatan Siasatan Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamad Yoosuf sendiri melahirkan rasa kesal dengan apa yang berlaku. Menurutnya, sudah berbuih mulut memberi nasihat agar orang ramai tidak terpedaya. Tetapi kes penipuan terus menjadi-jadi.

Dua bulan memasuki tahun baharu 2024, kes penipuan komersial meningkat 34.3 peratus, iaitu 4,741 kes. Kerugian berjumlah RM559 juta. Dibandingkan dengan tempoh sama tahun lalu hanya 3,539 kes dengan kerugian RM181.71 juta.

Penipuan merangkumi pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan berkali ganda dengan modal kecil dan dalam tempoh singkat. Bolehkah ini dipercayai? Mana ada jalan pintas menjadi kaya. Namun ramai percaya.

Ia ibarat umpan yang akan mengena jika tidak waspada. Kawan-kawan Kedai Kopi sendiri pernah menerima panggilan mendakwa daripada polis, mahkamah, Jabatan Hasil Dalam Negeri, pos laju, bank dan lain-lain.

Taktik mereka ialah menakut-nakutkan mangsa kononnya ada melakukan kesalahan jenayah. Penipu mendakwa masalah boleh diselesai dengan memindahkan wang ke nombor akaun diberi.

Jangan layan panggilan tidak dikenali. Cuma ramai kerap mudah panik dan takut apabila menerima panggilan seperti ini. Mereka sanggup memindahkan wang. Helah scammer mengena, mangsa berputih mata. Oleh itu berhati-hatilah. Kisah lalu jadikan teladan, nasihat polis jadikan ingatan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas