Berita

Kes ke-18 2019-nCoV di Banting, pesakit pernah bekerja di China

- Diterbit 10 Februari 2020 2:37 AM MYT

PUTRAJAYA – Kes ke 18 Novel Coronavirus (2019-nCoV) dilaporkan berlaku di Banting, Selangor membabitkan seorang lelaki tempatan berumur 31 tahun yang bekerja di Macau, China.

Perkara tersebut disahkan Kementerian Kesihatan (KKM) selepas pemeriksaan dan ujian klinikal dilakukan di Hospital Sungai Buloh, semalam.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, individu terbabit mempunyai sejarah perjalanan melawat ke tanah besar China sebelum kembali ke Malaysia pada 1 Februari lalu.

“Dia mula merasa tidak sihat serta batuk pada 3 Februari. Pada 4 dan 6 Februari, dia telah pergi ke klinik dan diberi ubat.

“Pada 7 Februari, keadaannya masih tidak sihat dan mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan yang mana selanjutnya pada hari yang sama dia dirujuk ke Hospital Banting, Selangor untuk pemeriksaan serta rawatan. Setelah disaring dan disiasat, dia dikesan mengalami radang paru-paru (pneumonia) dan dimasukkan ke hospital tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Noor Hisham, pemeriksaan seterusnya mendapati individu berkenaan menghidap Severe Acute Respiratory Infection (SARI) dan memerlukan pemantauan rapi.

Ujar beliau, ekoran itu, pesakit terbabit dirujuk dengan segera ke Hospital Sungai Buloh dan pihak hospital memulakan rawatan serta menjalankan siasatan lanjut termasuk mengambil sampel klinikal sebelum disahkan positif 2019-nCoV, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat sudah mengambil tindakan siasatan, pengesanan kontak rapat, langkah pencegahan dan kawalan.

“Saya ingin menasihatkan penduduk di daerah Banting agar bertenang. Kementerian Kesihatan mengambil tindakan sewajarnya dan akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.

“KKM juga ingin menyeru orang ramai agar sekiranya memerlukan penerangan mengenai penyakit ini atau ingin mendapatkan maklumat lanjut supaya menghubungi hotline di CPRC Kebangsaan di talian 03-88810200, 03-88810600 dan 03-88810700 atau emel di [email protected],” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas