Berita

Kes bunuh Zayn Rayyan tarik perhatian ramai dalam 2023

- Diterbit 28 Disember 2023 11:00 AM MYT

PENEMUAN mayat anak istimewa Zayn Rayyan Abdul Matiin berhampiran aliran anak sungai berdekatan blok rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai di sini pada 6 Disember lepas, merupakan antara kes jenayah yang menarik perhatian ramai sebelum 2023 melabuhkan tirainya.

Sebelum itu ibu Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf, 28, berkongsi di Facebook mengenai kehilangan anaknya semasa menaiki tangga Blok R ke rumah mereka selepas bermain di taman permainan apartmen berkenaan, 5 Disember lepas.

Biarpun pada mula awalnya diklasifikasikan sebagai kes budak hilang dan mati mengejut, namun hasil bedah siasat yang dilakukan terhadap mayat kanak-kanak autisme berusia enam tahun itu telah mendedahkan mangsa sebenarnya dibunuh berdasarkan kesan luka mempertahankan diri pada tubuhnya.

Mangsa yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan Damansara Damai 2 disyaki dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya diletakkan berhampiran aliran anak sungai berkenaan selepas polis mula giat memburu suspek terlibat dengan melakukan pemeriksaan dari rumah ke rumah.

Pada Sabtu lepas Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata pihaknya telah merakam 225 percakapan daripada keluarga dan penduduk di Apartment Idaman Damansara Damai dan mengambil 248 sampel asid deoksiribonukleik (DNA) serta meminta bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) bagi merungkai misteri kes pembunuhan kanak-kanak itu yang sehingga berita ini ditulis masih belum ada noktahnya. .

Selain kes Zayn Rayyan, kes pembunuhan kejam secara tikaman dengan mangsa adalah ibu bapa pelaku sendiri turut berlaku pada tahun ini.

Pada 9 Dis lepas, sepasang suami isteri warga emas ditemukan maut dipercayai ditikam anak lelaki mereka dalam pergaduhan di rumah mereka di Kampung Sungai Penchala, di sini.

Pasangan suami isteri berusia 82 dan 72 tahun itu ditemukan terbaring berlumuran darah di ruang tamu rumah.

Sumber berkata berlaku pertengkaran antara pasangan berkenaan dan anak lelaki mereka berusia 42 tahun yang dipercayai penagih dadah pada sekitar pukul  7 malam.

Selain itu, angkara cemburu seorang wanita mati ditikam berkali-kali sehingga terkena jantung oleh teman lelakinya di Jalan Bayu Tinggi 5, Taman Chi Liung, Klang, Selangor, 18 Disember lepas.

Negara juga dikejutkan dengan kes seorang anak lelaki berusia 47 tahun yang didakwa pada 28 Jun lepas di Mahkamah Majistret Muar kerana membunuh ibunya berusia 73 tahun di Taman Temiang Utama, Muar Johor pada 18 Jun 2023.

Terbaharu, gara-gara selisih faham seorang lelaki berusia 19 tahun mati dibunuh oleh abang teman wanitanya  dan mayat mangsa ditanam di dalam semak di belakang rumah suspek di Kampung Sungai Choh, Rawang, Selangor pada 23 Disember lepas.

Setakat ini, polis telah menahan seramai lapan orang termasuk tiga wanita yang berumur antara 19 hingga 45 tahun bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan

Sementara itu, isu kebanjiran pendatang tanpa izin di negara sehingga menimbulkan pelbagai masalah termasuk jenayah turut mendapat perhatian pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia apabila menyerbu “Mini Dhaka” di Jalan Silang, di sini pada 21 Disember

lepas dan berjaya menahan 1,101 pendatang tanpa izin atas pelbagai kesalahan.

Operasi bermula 11 pagi dengan disertai 1,138 pegawai dan anggota daripada Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) membabitkan Bridged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan Unit Anjing Pengesan (K9) mendapat pujian orang ramai yang sudah muak dengan perangai besar kepala sesetengah warga asing di situ.

Pada tahun ini polis turut melakar beberapa kejayaan menumpaskan sindiket dadah dengan yang terbaharu membabitkan penahanan seorang lelaki bergelar “Datuk” yang mendalangi sindiket pengedaran dadah terbesar di Sabah dalam siri serbuan di Kota Kinabalu, Tawau dan Semporna, pada Isnin lepas (25 Disember).

Lelaki itu yang turut menaungi sebuah badan bukan kerajaan bagi melindungi kegiatan jejayah yang dilakukan sejak 2015 itu ditahan bersama sembilan lagi anggota kumpulan sindiket itu oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan pasukan  Eastern Sabah Security Command (ESSCOM).

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay  dalam sidang media khas memaklumkan sindiket berkenaan juga dikesan melakukan pengubahan wang haram melalui pelbagai perniagaan mewah yang dijalankan ahli sindiketnya termasuk syarikat minyak dan gas serta rangkaian restoran.

Selain itu, polis juga berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah di Melaka selepas merampas pelbagai jenis barang terlarang itu, dianggarkan bernilai RM6.94 juta susulan penahanan  tiga lelaki berusia antara 27 hingga 51 tahun pada 18 Nov lepas.

Sementara itu, kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih lagi menjadi tumpuan apabila bekas peguam syarikat itu, Jasmine Loo Ai Swan ditahan polis pada 7 Julai dan bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa yang disyaki memainkan peranan penting dalam penyelewengan dana 1MDB tiba dari Amerika Syarikat pada 8 Okt bagi membantu siasatan skandal itu, selepas dia dijatuhi hukuman penjara 10 tahun di New York.

Susulan penahanan Loo itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain pada 16 Ogos lepas dilaporkan berkata lebih banyak aset melibatkan kes 1MDB akan dirampas dalam masa terdekat dan akan dilucutkan hak untuk dikembalikan kepada kerajaan melalui proses mahkamah.

Dalam pada itu, PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima tampuk pimpinan baharu tahun ini selepas ketua masing-masing bersara wajib.

Pada 21 Jun lepas, Razarudin yang menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Polis Negara ketika itu dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baharu berkuat kuasa 23 Jun lepas bagi menggantikan Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang tamat perkhidmatannya.

Berselang tiga bulan, pada 6 Sept, ATM pula mendapat Panglima Angkatan Tentera Malaysia baharu yang ke-22 iaitu Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman selepas penyandangnya, Jen Tan Sri Affendi Buang bersara. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas