Berita

Kes baharu Covid-19 melonjak kepada 103

- Diterbit 29 Mei 2020 2:36 PM MYT

PUTRAJAYA – Kes baharu positif Covid-19 kembali naik apabila 103 kes dilaporkan hari ini dengan 84 membabitkan warga asing.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu menjadikan keseluruhan kes positif
Covid-19 di negara ini adalah sebanyak 7,732 kes.

“Daripada jumlah itu, kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 sebanyak 1,382 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat pertambahan 66 kes pulih dan dibenarkan keluar dari hospital hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya meningkat kepada 6,235 kes dengan kadar kesembuhan 80.6 peratus.

“Sehingga kini, lapan kes positif
Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan dua daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Tiada kematian baharu dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian kekal 115 kes hari ini iaitu 1.55 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas