Berita

24 pekerja asing positif Covid-19, wujudkan kluster baharu syarikat pembersihan

- Diterbit 29 Mei 2020 2:54 PM MYT

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan mengenal pasti satu lagi kluster baharu positif Covid-19 membabitkan pekerja asing syarikat pembersihan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat pukul 12 tengah hari tadi sebanyak 24 kes positif Covid-19 dilaporkan dalam kluster membabitkan warga Bangladesh itu.

Katanya, kes positif dikesan klinik swasta yang menjalankan saringan ke atas pekerja syarikat pembersihan terbabit.

“Secara keseluruhannya, daripada 150 pekerja asing yang disaring, 126 kes didapati negatif Covid-19.

“Daripada 24 kes positif kluster ini, 20 daripada mereka menginap di sebuah asrama di Kuala Langat, Selangor dan kini dirawat di Hospital Sungai Buloh.

“Selain itu, empat kes lagi menginap di sebuah pangsapuri di Nilai, Negeri Sembilan dan kini dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.

“Bagi kluster syarikat pembersihan ini mereka yang positif 100 peratus tidak menunjukkan sebarang gejala jangkitan,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, langkah pembendungan dan pencegahan seterusnya sudah diambil seperti mengenalpasti dan menjalankan ujian saringan Covid-19 ke atas semua penghuni dan kontak rapat mereka termasuk pekerja bukan warganegara yang bertugas di unit lain.

“Setakat ini seramai 428 kontak rapat telah dikenal pasti dan akan disaring,” katanya.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan, ruang sempit antara mereka dalam tempat tinggal menyebabkan penjarakan sosial tidak dapat diamalkan.

Noor Hisham turut memuji tindakan majikan terbabit kerana mengambil inisiatif membuat saringan ke atas pekerja mereka untuk mengesan jangkitan virus itu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas