SURUHANJAYA Persaingan Malaysia (MyCC) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalinkan kerjasama melalui Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membantu membendung masalah pengguna termasuk penipuan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN), Senator Fuziah Salleh berkata MoU tersebut akan mewujudkan sinergi yang membolehkan penyelarasan dan penguatkuasaan bersama yang lebih baik antara kedua-dua belah pihak.
“Selain itu, isu peningkatan kos sara hidup masyarakat antara fokus utama kerajaan dan ia bukanlah di bawah tanggungjawab KPDN sahaja sebaliknya ia memerlukan sokongan dan usaha bersama daripada pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.
“Banyak faktor yang menyumbang kepada kos sara hidup iaitu kebolehcapaian perkhidmatan digital, persaingan dan kecekapan telekomunikasi. Namun, secara tidak langsung kerjasama ini menangani aspek cabaran yang dihadapi rakyat Malaysia,” ujar beliau ketika merasmikan Majlis MoU antara MyCC dan MCMC di Auditorium Azman Hashim, Bangunan AICB, Kuala Lumpur.
Tambah Fuziah, ia juga merupakan satu peristiwa penting ke arah mendepani aspek ekonomi digital yang lebih kompetitif dan tidak hanya membawa kebaikan dalam perniagaan dan industri sebaliknya kedua-dua pihak harus terus bekerjasama dan berusaha dalam meningkatkan taraf hidup yang lebih selesa buat masyarakat.
“Secara jelas, MoU ini tidak hanya tertumpu kepada aspek memperkukuhkan kerjasama tetapi memastikan persaingan dalam pasaran untuk melindungi kebajikan pengguna di samping membuktikan komitmen kerajaan meningkatkan keberkesanan dasar ekonomi dan seterusnya melindungi kepentingan pengguna di negara ini menerusi dasar persaingan dan penguatkuasaan.
“Ia juga menunjukkan komitmen tidak berbelah bahagi kedua-dua pihak untuk terus bekerjasama dalam menangani isu persaingan yang semakin kompleks merangkumi bidang kuasa masing-masing selain turut menumpukan aspek persaingan dalam ekonomi digital,” ujar beliau.
Antara tumpuan utama jalinan kerjasama kedua-dua pihak ini adalah memastikan persaingan dalam pasaran bagi melindungi kebajikan pengguna, menangani isu persaingan yang berkaitan platform e-dagang dan penyedia perkhidmatan kurier termasuk menangani pengaturan eksklusif antara penyedia perkhidmatan telekomunikasi dan pemaju hartanah atau badan pengurusan bersama di bangunan kediaman bertingkat.
Terdahulu, MoU tersebut ditandatangani oleh Pengerusi MyCC, Datuk Seri Mohd Hishamudin Yunus dan Ketua Pegawai Operasi MCMC, Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus.
Ia turut disaksikan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail.
Sebagai rekod, KPDN telah menerima lebih 20,000 aduan setakat 31 Julai lalu membabitkan 10 kategori kepenggunaan di mana 35 peratus daripada aduan adalah berkaitan transaksi dalam talian termasuk tidak mendapatkan produk atau perkhidmatan yang dijanjikan serta perkhidmatan tidak diterima namun aduan yang lebih kerap oleh pihak lain adalah mengenai harga dengan 4,995 aduan (19.42 peratus), perkhidmatan mengelirukan dengan 4,276 aduan (16.63 peratus) dan iklan mengelirukan dengan 1,326 aduan (5.16 peratus). – WILAYAHKU