Berita

Kerjasama dengan PPBM agenda Muhyiddin?

- Diterbit 4 September 2020 3:08 AM MYT

SEMAKIN hampir PRU15, semakin meningkat pula polemik yang tidak perlu dalam kalangan pemimpin dan ahli UMNO mengenai kerjasama parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN). Lebih parah lagi persoalan-persoalan dasar parti ini diolah oleh mereka yang tidak terlibat secara langsung dalam mesyuarat dan rundingan tersebut.

Sebelum pihak yang mendakwa mewakili akar umbi terus menyalahkan individu tertentu dan merosakkan perancangan kepimpinan tertinggi parti dalam menghadapi PRU15, eloklah beberapa fakta dan kronologi mengenai kerjasama UMNO dalam PN dan PPBM difahami.

Pertamanya, perlu difahami bahawa keputusan berkaitan kerjasama dengan PPBM, PN dan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah dibuat di beberapa peringkat, iaitu Biro Politik, Majlis Tertinggi, Jawatankuasa Perunding MN dan Jawatankuasa Perunding Kerusi Pilihanraya.

Seingat saya, antara keputusan paling awal yang dibuat mengenai kerjasama dengan PN dan Tan Sri Muhyiddin adalah dibuat dalam mesyuarat Biro Politik, Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Keputusan yang dibuat dalam Biro Politik UMNO ini adalah untuk menyokong Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, menyokong kerajaan PN, tidak akan menyertai PN jika ia didaftarkan tapi akan meneruskan kerjasama dengan PN, membentuk JK Perunding MN dan JK Perunding untuk membincangkan pengagihan kerusi bersama parti lain dalam PN.

Keputusan-keputusan dalam Biro Politik ini seterusnya diperincikan lagi melalui perbincangan-perbincangan dalam JK Perunding MN, yang dipengerusikan secara bersama oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hj Hasan dan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man serta dianggotai oleh lebih 20 orang pemimpin tertinggi kedua-dua parti, termasuk semua Naib-naib Presiden, Ketua-ketua Sayap, Ahli-ahli MKT Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Datuk Seri Reezal Merican dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Dimaklumkan, dalam mesyuarat JK Perunding MN pula telah diputuskan beberapa perkara, antaranya untuk memastikan pertandingan satu lawan satu dan mengelakkan pertandingan tiga penjuru dan penggunaan manifesto bersama untuk PRU15.

Seterusnya, rundingan-rundingan berkaitan pengagihan kerusi PRU15 melibatkan UMNO, PPBM dan PAS pula dilaksanakan dalam sebuah lagi JK Perunding yang diwakili oleh lima pemimpin kanan parti, iaitu Datuk Seri Ismail Sabri, Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Datuk Dr Asyraf Wajdi dan Datuk Seri Azalina Othman Said.

Dalam mesyuarat JK Perundingan ini, khabarnya berdasarkan kekuatan semasa parti-parti dalam PN, dipersetujui bahawa UMNO dan BN akan bertanding jumlah kerusi yang terbanyak.

Jelas sekali semua keputusan ini bukan dibuat oleh seorang individu tetapi dibuat dengan penglibatan pemimpin-pemimpin kanan parti, termasuk Presiden dan Naib-naib Presiden yang merupakan wakil yang dipilih oleh perwakilan dan ahli-ahli di peringkat akar umbi bagi mewakili suara mereka di peringkat tertinggi parti. Ia juga bukan keputusan UMNO semata-mata, tetapi keputusan-keputusan dasar ini dicapai selepas pemimpin-pemimpin kanan UMNO berunding sehabis baik dengan pemimpin-pemimpin kanan parti-parti lain dalam PN dan MN.

Faktanya adalah adalah keputusan-keputusan ini merupakan agenda bersama dalam UMNO yang telah dirundingi oleh sejumlah besar pemimpin-pemimpin tertinggi parti maka adalah salah untuk mendakwa bahawa semua ini adalah agenda Muhyiddin.

Berdasarkan pengalaman saya ketika merasmikan persidangan-persidangan cawangan, memang jelas kelihatan pemimpin dan ahli-ahli akar umbi dahagakan maklumat-maklumat terkini mengenai parti, terutama berkaitan PN dan MN. Mungkin akibat terlalu ingin menjaga kerahsiaan dan strategi parti, pemimpin tertinggi parti telah bertindak untuk tidak menjelaskan hal-hal sebegini kepada akar umbi.

Ada baiknya selepas ini, saluran komunikasi dan media parti mula menjelaskan mengenai MN, PN, keputusan-keputusan Biro Politik, JK Perunding MN dan JK Perunding Pengagihan Kerusi. Selain itu, ada baiknya juga jika Presiden, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, Pegawai-pegawai dan ahli-ahli MKT yang terlibat dengan Biro Politik dan JK Perunding tersebut turut mengambil kesempatan menjelaskan isu-isu berkaitan kerjasama dengan PPBM, PN dan MN semasa merasmikan Mesyuarat Tahunan Perwakilan UMNO Bahagian agar tidak lagi wujud jurang maklumat (information gap) di kalangan ahli-ahli di peringkat akar umbi.

Ini supaya kita dapat mengawal persepsi dan naratif perpaduan ummah yang menjadi asas kepada kebangkitan semula parti selepas Mei 2018 dan kemenangan BN sebanyak tujuh kali dalam Pilihanraya Kecil (PRK). Memang menjadi agenda musuh untuk memecah belahkan permuafakatan parti-parti dalam PN dan MN. Jangan pula kita, ahli-ahli UMNO yang mempermudahkan lagi tugas mereka. Bersabarlah, bukannya lama sangat lagi pun… TUN FAISAL ISMAIL AZIZ, TIMBALAN KETUA UMNO BAHAGIAN PUTRAJAYA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas