Berita

Selepas PBKL, KWP ikrar ‘merdekakan’ Jalan Petaling

PENGUASA DBKL menyita barang daripada premis haram di
- Diterbit 4 September 2020 2:48 AM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan berikrar mahu ‘memerdekakan’ Jalan Petaling atau lebih dikenali sebagai ‘Petaling Street’ daripada peniaga warga asing yang lagak seperti gangster.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Santhara Kumar, berkata pihaknya menerima laporan bahawa golongan terbabit menjalankan perniagaan ala samseng termasuk mengugut pelanggan dan pengunjung selain menawarkan khidmat pelacuran di kawasan itu.

“Kita mahu memerdekakan Petaling Street. Bandar kita kalau penuh dengan peniaga warga asing di Petaling Street, apakah ertinya kemerdekaan kepada warga Kuala Lumpur.

“Ketika ini, kita giat menjalankan operasi, ini baru peringkat permulaan dan kita tidak akan berhenti. Kita mahu menjalankan tanggungjawab yang diberikan oleh rakyat dan tidak mahu tunduk kepada tekanan politik.

“Saya merayu orang awam menyalurkan maklumat berkaitan kepada pihak berkuasa untuk tindakan susulan,” katanya pada sidang akhbar sempena Operasi Tebah yang diketuai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Jabatan Imigresen, polis dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosioekonomi) DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff.

Mengulas operasi itu, Santhara berkata, pihaknya telah menjalankan risikan selama tiga minggu ke atas tujuh premis pelacuran dan mendapati ‘bapa ayam’ telah mengupah “mata-mata” serta memasang kamera litar tertutup (CCTV).

“Sebahagian premis itu turut didapati mengubah suai struktur bangunan dan membuat pintu rahsia yang ditempatkan di kedai runcit bagi  mengelakkan kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

“Kita akan terus jalankan operasi, kalau perlu setiap minggu kita akan berbuat demikian. Kalau perlu, dua kali sehari pun kita akan buat.” katanya.

Santhara memberitahu, menerusi operasi tersebut, pihaknya berjaya menahan lapan orang lelaki warga asing dipercayai pelanggan di beberapa rumah pelacuran dan turut merampas 78 barangan termasuk kondom, tilam dan bantal, selain memecahkan 164 papan atau sekatan antara bilik,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas