Berita

Kerja dari rumah lebih produktif dengan terapeutik muzik

- Diterbit 22 Oktober 2020 3:48 AM MYT

BARU sahaja mahu membuka komputer untuk memulakan kerja, si kecil mula merengek, menangis mahukan perhatian daripada ibunya. Mungkin lapar atau sekadar mahu ajak bermain.

Bukan setakat yang mempunyai anak kecil sahaja, sering kali juga kita mendengar keluhan golongan yang terpaksa bekerja dari rumah.

Keadaan persekitaran rumah yang semestinya jauh berbeza dengan suasana di tempat kerja membuatkan mereka hilang tumpuan disebabkan pelbagai gangguan dari segi internet, bunyi mahupun ruang terhad.

Maka wujudlah rasa tidak selesa dan tidak seronok bekerja di rumah.

Selain itu, akibat multitasking di rumah dalam satu-satu masa ataupun tekanan daripada majikan untuk menghabiskan kerja dalam jangka masa pendek, seseorang itu mungkin akan dilanda stres. Lebih memburukkan keadaan, ada yang mungkin terdetik untuk bertindak membunuh diri akibat kemurungan melampau.

Itu antara cabaran bagi kebanyakan ibu bekerjaya, apabila majikan mengaturkan mereka untuk bekerja dari rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kemudiannya disambung kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Laporan kes positif COVID-19 yang semakin meningkat kebelakangan di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya membuatkan kerajaan melaksanakan kembali PKPB berkuatkuasa 14 Okt hingga 27 Okt depan.

JANGAN PANDANG RINGAN

Menurut Pensyarah Psikologi Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Madya Dr Siti Aisyah Abdul Rahman, isu kesihatan mental di tempat kerja seharusnya tidak dipandang ringan oleh mana-mana organisasi.

“Ia dilihat sebagai isu global yang memberi impak besar terhadap produktiviti organisasi.

“Menurut kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyakit mental bakal menggantikan penyakit kardiovaskular sebagai faktor penentu utama, sama ada seseorang itu masih mampu untuk terus bekerja atau sebaliknya,” katanya, yang dipetik laporan sebuah akhbar harian tempatan pada 15 Okt lepas.

Menurut kajian daripada jurnal perubatan Cochrane Heart Group pada 28 Dis 2013 , intervensi muzik digunakan saban tahun bagi mengurangkan kebimbangan dan tekanan serta menambah baik tindak balas fisiologi seperti kadar denyutan jantung dan kadar pernafasan dalam kalangan pesakit perubatan.

Kajian itu juga turut menyebut bahawa mendengar muzik berupaya untuk mengurangkan kebimbangan dan tekanan, sekali gus dapat membantu meningkatkan kualiti tidur.

LEBIH BERKESAN

Pegawai Psikologi, Kementerian Luar Malaysia, Mohd Zaki Sarpan berkata, terapeutik muzik dilihat lebih berkesan dalam membantu seseorang tetap produktif ketika bekerja dari rumah, terutamanya dari segi konsentrasi dan pengurusan stres.

“Muzik dapat meningkatkan produktiviti dan prestasi kognitif, terutama kepada orang dewasa, selain dapat membantu seseorang menguruskan kegelisahan, lebih bermotivasi dan mengekalkan produktiviti.

“Walaupun tiada kajian bahawa terapeutik muzik boleh menyembuhkan atau menyelesaikan masalah akibat krisis, tetapi ia dapat membantu kanak-kanak dan golongan dewasa belajar menangani krisis menggunakan kemahiran dan meluahkan perasaan serta emosi,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau adalah jurulatih serta pengasas Kelab Happy Drummers, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sejak tahun 2014.

Menurut Mohd Zaki, pemilihan muzik yang sesuai mengikut keadaan dapat membantu seseorang itu menumpukan perhatian ketika bekerja dari rumah, sama ada ketika berehat mahupun ketika bekerja.

“Muzik dapat mempengaruhi emosi seseorang. Misalnya, apabila kita mendengar lagu sedih, kita akan berasa sedih dan ada kalanya lagu-lagu rancak dapat menceriakan emosi seseorang daripada sedih kepada gembira.

“Namun semua itu adalah bergantung kepada individu itu sendiri, sama ada menggunakan muzik untuk bersantai mahupun untuk tujuan menumpukan perhatian pada kerja mereka. Ia bergantung kepada pilihan masing-masing kerana setiap orang mempunyai cita rasa muzik yang berlainan,” katanya, sambil menambah, bagi mereka yang kurang bermotivasi dan tidak bersemangat untuk bekerja dari rumah, dicadangkan memilih lagu-lagu yang mempunyai lirik positif.

“Apabila kita menghayati lirik positif yang terdapat pada sesebuah lagu, secara tidak langsung kita akan terikut-ikut dan menyanyi lagu itu dan ia juga boleh memberikan semangat positif untuk meneruskan kerja mereka.

“Waktu pagi merupakan tempoh sesuai untuk mendengar lagu-lagu positif sebelum memulakan kerja namun ia juga bergantung kepada individu, bila-bila masa sahaja asalkan ia dapat meningkatkan semangat motivasi mereka,” katanya.

Selain itu, Mohd Zaki berkata lagu tanpa lirik berinstrumental juga mampu meningkatkan tumpuan seseorang sama ada terhadap pembelajaran mahupun pemahaman terhadap kerja mereka di rumah.

“Namun, bukan semua orang sukakan lagu tanpa lirik ini, pelbagai kesan muzik boleh mempengaruhi emosi seseorang, ia juga berdasarkan minat seseorang kerana muzik itu sangat universal.

“Ada yang suka mendengar bunyi air, bunyi burung berkicau ataupun muzik berlatarbelakangkan alam semulajadi mampu memberi ketenangan juga kepada mereka,” katanya.

ALAT MUZIK TENANGKAN ANAK-ANAK DI RUMAH

Mohd Zaki percaya dengan bermain alat-alat muzik juga boleh dijadikan sebagai sebahagian daripada terapeutik muzik kepada mereka yang bekerja dari rumah. Ini terutamanya bagi ibu bekerjaya yang mahukan ketenteraman akibat gangguan daripada anak-anak di rumah.

“Misalnya, jika kita sudah penat seharian bekerja di rumah, mereka boleh berehat seketika sambil bermain alat-alat muzik seperti piano, gitar, violin bagi mengasah bakat seterusnya memberikan ketenangan bagi mereka untuk melepaskan tekanan.

“Selain itu, bagi ibu bapa yang berkemampuan, mereka boleh menubuhkan band mini untuk bermain alat muzik bersama dengan anak-anak bagi mewujudkan suasana keseronokan dan mengeratkan silaturahim sesama ahli keluarga.

“Cara itu bukan sahaja dapat menenangkan anak-anak kecil daripada mengganggu mereka ketika bekerja dari rumah, malah ia dapat mengasah bakat anak-anak dan menanam minat terhadap permainan alat muzik,” katanya.

Bagi mereka yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan alat muzik di rumah, Mohd Zaki mencadangkan untuk memanfaatkan aplikasi telefon seperti piano, guitar dan violin dalam gajet mereka.

“Banyak aplikasi alat muzik yang boleh dimuat turun untuk mengasah bakat kita ketika masa lapang ataupun untuk belajar bermain alat muzi. Tidak semestinya mereka harus membeli alat muzik itu kerana ada yang harganya mahal dan tidak mampu milik.

“Namun, mereka disarankan jangan terlalu lama dan taksub dalam bermain aplikasi muzik ini sehingga kerja mereka tertangguh. Jika tidak digunakan secara bijak, ia juga boleh menjadi satu ‘gangguan’ juga kerana terlalu leka dengan bermain aplikasi dalam telefon pintar mereka.

“Disiplin itu sangat penting kerana pengurusan masa yang betul untuk bekerja dan bermain alat muzik ketika masa lapang dapat juga mengurangkan stres seharian di rumah, ” katanya.

TERAPEUTIK MUZIK UNTUK INSOMNIA

Insomnia juga mampu menjejaskan tumpuan seseorang ketika bekerja dari rumah kerana kajian menunjukkan bahawa tidak cukup tidur mampu memberikan stres dan menjejaskan emosi seseorang dalam seharian.

Untuk mengatasi masalah insomnia dan membantu mereka yang sukar tidur nyenyak pada waktu malam, Mohd Zaki turut mencadangkan agar memilih lagu-lagu instrumental dan tidak berlirik.

“Tidur yang mencukupi sangat mempengaruhi emosi seseorang, lebih-lebih lagi jika bekerja dari rumah kerana itu juga merupakan salah satu gangguan psikologi.

“Ada beberapa teori terapeutik muzik untuk masalah insomnia dan susah tidur. Ada yang menyatakan bahawa sesetengah muzik untuk mendodoikan, namun jika tidak bijak memilih jenis muzik untuk tidur, ada yang boleh merancakkan aktiviti minda.

“Dalam hal ini, seseorang itu kena banyak mencuba trial and error. Semua orang mempunyai emosi masing-masing terhadap kepelbagaian muzik dan ada juga lagu-lagu yang mengimbau kenangan dan kisah-kisah silam seseorang sehinggakan susah untuk tidur.

“Oleh itu, pemilihan lagu dan muzik adalah penting dan kenal pasti jenis muzik atau lagu yang boleh mengatasi masalah tidur dengan trial and error,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas