KERAJAAN Perpaduan beriltizam meningkatkan pendapatan rakyat pada tahun kedua pentadbirannya tahun depan, kata Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil.
Bercakap dalam program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV pagi ini, Menteri Komunikasi dan Digital itu berkata ia meliputi segenap sektor didorong landskap ekonomi yang semakin pulih dan stabil di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Tahun pertama, secara amnya Kerajaan Perpaduan telah berjaya mengukuhkan kestabilan politik, ini asas yang sangat penting. Tidak ada perubahan kerajaan.
“Dengan adanya asas yang stabil ini, kita dapat umumkan beberapa dasar seperti Ekonomi MADANI, Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), peralihan kepada tenaga hijau dan terbaharu Kertas Putih mengenai Dasar Gaji Progresif, meningkatkan gaji (penjawat awam) insya-Allah tahun depan..,” katanya.
Beliau berkata dengan terus mengekalkan Kerajaan Perpaduan, ia membantu meningkatkan kestabilan politik, keyakinan pelabur selain mengukuhkan ringgit. – BERNAMA