Berita

SSPA: Pelarasan gaji golongan profesion teknikal diberi keutamaan

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 5 Disember 2023 4:20 AM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa memberi jaminan soal pelarasan gaji golongan profesion teknikal dalam perkhidmatan awam akan diberi keutamaan dalam kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Ketika merasmikan sambutan Hari Profesion Teknikal Negara 2023 (HPTN2023) di sini hari ini, Anwar berkata, kehadirannya di HPTN2023 itu adalah bagi mengiktiraf peranan golongan profesion teknikal yang sesuai dengan keadaan dan pertumbuhan ekonomi negara sekarang.

“Kedudukan golongan ini dengan sendiri terangkat dan sangat kritikal. Sesuai dengan pengiktirafan itu saya telah beri komitmen iaitu dalam pelarasan gaji peranan profesion teknikal itu harus diberikan tempat sewajarnya,” kata beliau.

Sehubungan itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan meminta badan profesional dalam profesion itu supaya mengemukakan input munasabah dalam soal pelarasan gaji menerusi SSPA.

HPTN telah diluluskan Jemaah Menteri pada Oktober 2018 untuk diadakan secara tahunan pada Sabtu pertama Disember sebagai penghargaan dan pengiktirafan jasa disumbangkan profesion teknikal dalam landskap pembangunan negara. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas