KERAJAAN Persekutuan berjaya mencapai hasil negara sebanyak RM238 bilion sekali gus menepati unjurannya pada tahun lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jumlah itu dijana hasil daripada kutipan masing-masing RM183 bilion oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta RM55 bilion lagi menerusi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
“Hasil negara, kita akhirnya dapat memenuhi unjuran yang tidak selalu dicapai. Kalau JKDM itu, memang peroleh lebih kutipan dari yang diunjurkan. Kesemua kutipan sebanyak LHDN RM183 bilion dan JKDM RM55 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan warga Kementerian Kewangan (MOF) bersama Perdana Menteri dan Menteri Kewangan baru-baru ini.
Sementara itu, Anwar turut memberitahu, beliau yakin kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lepas berjaya dicapai sebanyak empat peratus.
“Jika dilihat, kadar KDNK untuk tiga suku pertama berada pada tahap 3.9 peratus, sasaran KDNK 2023 insya-Allah empat peratus.
“Jangan kita terpukau dengan angka. Saya tak kata statistik itu menipu, statistik boleh dipertahankan, tetapi kadang-kadang di beberapa kawasan itu, harga (barangan) itu mungkin berbeza, statistik ini angka purata sahaja,” kata beliau.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri turut menjelaskan kerajaan fokus untuk meneruskan inisiatif subsidi bersasar, sungguhpun wujud kebimbangan dan kritikan pihak lain.
Malah Anwar turut menegaskan kerajaan tidak akan meneruskan agihan subsidi sehingga RM80 bilion setahun, selain menyifatkan ia hanya lebih menguntungkan golongan kaya dan warga asing.
“Subsidi mencecah RM80 bilion tidak mungkin akan diteruskan lagi sebab ia membebankan negara dan merosakkan akar sendi ekonomi negara, tetapi tidak boleh ditarik subsidi sehingga membebankan rakyat.
“Justeru itu, apa yang dilakukan ialah menarik subsidi bagi 3.5 juta warga asing yang selama ini mendapat manfaat pada semua minyak, bekalan elektrik dan sebagainya. Mereka dapat menggunakan subsidi selain orang yang maha kaya. Jangan kita beri sedekah kepada orang kaya,” katanya.
Beliau juga memaklumkan sudah mengarahkan Kementerian Ekonomi untuk menyegerakan pelarasan subsidi minyak petrol dan diesel. – WILAYAHKU