Berita

Gubal dasar dan strategi

ZALIHA ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Menteri Wilayah
- Diterbit 12 Januari 2024 8:10 AM MYT

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa mewujudkan semula Majlis Menteri Wilayah selepas ia kali terakhir bermesyuarat pada tahun 2019.

Menurut Zaliha, mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) dan dianggotai oleh semua Ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan wakil-wakil dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Mesyuarat ini berfungsi untuk menyalurkan input dalam merancang dan menggubal dasar serta strategi pembangunan di Kuala Lumpur.

“Selain itu, mesyuarat ini juga akan menjadi platform untuk menyelesaikan isu-isu dasar berdasarkan pelaporan perkara-perkara yang telah diputuskan pada Mesyuarat Konsultasi Datuk Bandar Kuala Lumpur Bersama Ahli Parlimen Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Beliau berkata mesyuarat ini akan diadakan setiap tiga bulan sebagai langkah berterusan dalam menangani perkembangan dan keperluan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Selain itu ia akan memainkan peranan yang penting dalam memastikan setiap keputusan dan langkah strategik adalah berasaskan keperluan semasa dan mengambil kira harapan rakyat di Kuala Lumpur,” katanya.

Dalam pada itu, Zaliha menyatakan dalam mesyuarat pertama yang diadakan, terdapat sembilan isu dasar yang menjadi tumpuan dibincangkan dan akan diambil tindakan kelak.

Hadir sama, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Datuk Noridah Abdul Rahim dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Sr Kamarulzaman Mat Salleh. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas