Berita

Kepuasan pengguna antara cabaran dalam pelaksanaan JENDELA

Datuk Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata, keperluan pengguna meningkat setelah perkhidmatan internet dinaik taraf. Kredit foto: BERNAMA
- Diterbit 1 April 2022 3:32 AM MYT

KEPUASAN dan jangkaan pengguna merupakan antara cabaran dalam pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), menurut Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Datuk Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek.

Beliau berkata ini kerana keperluan pengguna meningkat setelah perkhidmatan internet dinaik taraf di sesuatu kawasan.

“Apabila pengguna nak perkhidmatan untuk telefon dan hantar mesej, kelajuan hanya satu megabit sesaat (Mbps), jadi kita naik taraf atau buat menara baharu, kelajuan itu meningkat ke 15 hingga 20 Mbps, tetapi cara mereka guna pakai pula sudah berubah.

“Hari itu guna untuk mesej dan telefon, sekarang dia akan guna pakai untuk penstriman, tengok YouTube atau Netflix, maka keperluan meningkat,” katanya dalam program Ruang Bicara bertajuk JENDELA-Mencorak Masa Depan Negara yang disiarkan di Bernama TV malam ini.

Selain itu, beliau berkata proses mendapatkan kelulusan daripada pelbagai pihak juga merupakan cabaran dalam melaksanakan projek itu dalam masa singkat.

Katanya, terdapat proses di luar kawalan agensinya dan kerjasama serta perbincangan yang berterusan perlu diadakan bagi mempercepat proses kelulusan. — BERNAMA 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas