Berita

Kepakaran warga KSM bangunkan MySPIKE cermin kecekapan perkhidmatan – SIM

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 14 Februari 2024 11:45 AM MYT

KEPAKARAN warga Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam membangunkan Sistem Pengurusan Integrasi Kemahiran Malaysia (MySPIKE) dilihat sebagai cerminan kecekapan penyampaian perkhidmatan, kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.

Berbangga dengan kelebihan yang dimiliki warga KSM, Sim ketika berucap pada majlis Perhimpunan Bulanan KSM di sini hari ini berkata warga kerja merupakan aset berharga dimiliki KSM.

“Dulu orang ingat penjawat awam tidak boleh bangunkan sendiri apa-apa sistem. Jadi kita (kerajaan) kena lantik kontraktor.

“Tetapi sebenarnya penjawat awam adalah pelaksana, pemikir dan perangka strategi. Kebolehan-kebolehan ini ada dalam perkhidmatan awam. Kita harus beri peluang kepada mereka,” katanya dan menambah kepakaran warga KSM itu menjimatkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM8 juta.

MySPIKE merupakan platform tunggal yang digunakan dalam proses pentauliahan program, perakuan personel, pendaftaran pelajar, verifikasi penilaian dan persijilan keseluruhan agensi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang mengguna pakai Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM).

Bagi meningkatkan pencapaian perkhidmatan KSM, Sim mengajak warga kementerian itu untuk mengaplikasikan falsafah Ren dan Li yang merupakan kepercayaan masyarakat Cina, dalam melaksanakan tugasan harian.

Memetik pemikiran diasaskan oleh Kung Fu Tze untuk meningkatkan moral dan menjaga etika manusia, Sim berkata Ren bermaksud kasih sayang dan perikemanusiaan manakala Li bermaksud tatacara atau kesusilaan.

Pada majlis itu, Sim turut mengalukan Ketua Setiausaha KSM Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, yang memulakan tugasnya secara rasmi pada 23 Jan lepas.

“Selamat datang. Saya difahamkan ini kali pertama beliau jadi KSU (Ketua Setiausaha). Walaupun tugas baharu, tetapi beliau telah beberapa kali turun padang. Saya hargai kesungguhan beliau,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas