Berita

Kenderaan perkhidmatan awam diberi lanjutan had usia setahun

SEMUA kelas kenderaan perkhidmatan awam di bawah bidang kuasa Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan bagi Sabah dan Sarawak layak mendapat perlanjutan berkenaan. Kredit foto oleh: BERNAMA/ Berita Harian SEMUA kelas kenderaan perkhidmatan awam di bawah bidang kuasa Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan bagi Sabah dan Sarawak layak mendapat perlanjutan berkenaan. Kredit foto oleh: BERNAMA
- Diterbit 12 Julai 2021 6:58 AM MYT

KEMENTERIAN Pengangkutan (MOT) akan memberikan perlanjutan satu tahun secara automatik bagi kenderaan perkhidmatan awam yang telah dan akan mencapai had usia dibenarkan sebagaimana ditetapkan dalam syarat pelesenan.

Menterinya Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata perlanjutan itu diberi kepada kenderaan perkhidmatan awam yang telah atau akan mencapai had usia dibenarkan antara 1 Jan hingga 31 Dis tahun ini, selain telah menjalani dan lulus pemeriksaan kenderaan dengan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk layak serta selamat beroperasi.

Wee berkata langkah itu bagi membantu sektor pengangkutan awam khususnya pemilik teksi, bas sekolah dan bas persiaran mengharungi waktu sukar ketika ini disebabkan pandemik COVID-19.

“Keputusan untuk memberi tempoh perlanjutan ini dibuat kerana memahami ramai pemandu dan operator kenderaan perkhidmatan awam berdepan dengan kesukaran untuk menggantikan kenderaan mereka ketika tempoh mencabar ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata semua kelas kenderaan perkhidmatan awam di bawah bidang kuasa Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan bagi Sabah dan Sarawak layak mendapat perlanjutan berkenaan.

Wee berkata keputusan berhubung tempoh perlanjutan untuk bas persiaran dan pelancongan turut diselaraskan dengan aspek pelesenan pengendali pelancongan, selain pelesenan bas pelancongan serta persiaran di Sabah, Sarawak dan Labuan yang berada di bawah bidang kuasa Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC).

Beliau berkata keputusan perlanjutan secara automatik dibuat susulan rundingan dan pertemuan antara kementerian dan wakil-wakil industri serta persatuan.

Mereka termasuk Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Persatuan Pengusaha Bas Pan Malaysia (PMBOA),  Persatuan Pengusaha Bas Persiaran Semenanjung Malaysia (PPBPSM), Gabungan Teksi Semenanjung Malaysia (GTSM), Koperasi Melayu Teksi Pulau Pinang, Persatuan Teksi India Wilayah Persekutuan dan Persatuan Kereta Sewa Hulu Selangor, katanya.

“Kami berharap tempoh perlanjutan setahun secara automatik bagi had usia kenderaan ini dapat memberi sedikit kelegaaan kepada industri ketika kebanyakan syarikat  sedang berusaha untuk pulih dan kembali berdaya saing dalam memberi perkhidmatan kepada orang ramai,” katanya.  – BERNAMA 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas