KENAIKAN kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kepada 8.0 peratus mampu menjana serta mengukuhkan kedudukan kewangan negara.
Bermula 1 Mac 2024, kadar baharu SST dinaikkan kepada lapan peratus berbanding enam peratus sebelum ini, sebagaimana diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada Oktober lalu.
kadar baharu cukai itu (8.0 peratus) tidak merangkumi perkhidmatan untuk makanan dan minuman, telekomunikasi, tempat letak kereta dan logistik.
Setiausaha Agung Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (Mata), Dr Mohd Fairuz A Razak berkata langkah itu sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meningkatkan daya tahan kewangan negara sambil mengurangkan defisit belanjawannya.
Menurut Mohd Fairuz, kutipan hasil cukai itu mampu menambah pendapatan negara dengan banyak selain menurunkan kadar hutang negara.
“Memang kalau hendak diikutkan, unjuran kutipan cukai itu, mampu menjana serta mengukuhkan lagi kedudukan kewangan negara dan lebih menstabilkan eknomi.
“Ia juga sekali gus kerajaan mampu untuk berbelanja membangunkan negara atau menyalurkan bantuan dengan nilai yang sebaiknya buat golongan yang kurang berkemampuan,” katanya baru-baru ini.
Tambah beliau, cukai SST ini adalah sebuah cukai selain daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) untuk penyesuaian satu bentuk sistem percukaian.
Jelas Mohd Fairuz, banyak perkara positif yang dapat memberi manfaat bukan sahaja kepada negara malah juga rakyat serta mampu meningkatkan kualiti hidup.
“Kita kena faham, semua perkara bukan sekelip mata akan berubah, kita perlu tempoh masa untuk lihat kepada hasilnya.
“Hasil kutipan cukai itu, kerajaan mampu untuk memberi subsidi, peningkatan bantuan, pembangunan infrasturktur serta kesihatan dan banyak lagi.
“Malah ia juga mampu merapatkan jurang antara luar bandar dan bandar serta mengecilkan jumlah garis kemiskinan jika perancangan teliti dan baik dapat dilaksanakan dengan hasil kutipan cukai ini juga,” katanya.
Tambah Mohd Fairuz, pembangunan sesebuah negara itu berdasarkann kestabilan ekonomi atau pengukuhan kedudukan kewangan mereka sendiri.
“Lihat sahaja negara-negara maju yang lain, kutipan cukai negara mereka juga besar, daripada situ, kerajaan mampu berbelanja dan membangunkan negara sekali gus membantu rakyat dalam memberikan kelangsungan hidup yang terbaik.
“Selain itu, dapat elakkan negara untuk berhutang atau meminjam dalam menyuntik kewangan atau ekonomi negara lagi pada masa hadapan,” ujarnya.
Walaubagaimanapun, katanya, pemantauan harus dilaksanakan bagi mengelakkan daripada barangan tempatan dinaikkan.
“Lumrah ekonomi, kerajaan perlu lakukan pemantauan untuk mengelakkan peniaga-peniaga ambil kesempatan untuk meningkatkan harga barangan, kerana ia mampu menjejaskan kuasa beli rakyat.
“Kita mahu rakyat terus berbelanja bagi meningkatkan ekonomi domestik, kita tidak mahu rakyat hilang kuasa membeli.
“Perlu diingat juga, kenaikan SST ini tidak merangkumi perkhidmatan untuk makanan dan minuman, telekomunikasi, tempat letak kereta dan logistik,” katanya.
Mohd Fairuz menegaskan langkah peningkatan SST adalah satu langkah yang wajar dilakukan di dalam mengukuhkan kewangan demi membangunkan negara. – WILAYAHKU