Berita

Kempen IOIPG: Beg plastik, tin minuman antara 350 kilogram sampah dikutip

- Diterbit 5 Januari 2021 8:10 AM MYT

CABARAN Pembersihan Warga IOI Aktif 2020 dari Oktober hingga Disember tahun lepas, berjaya mengumpulkan 3,796 barangan buangan seberat 352 kilogram (kg) termasuklah botol dan penutup botol, tin minuman, beg plastik dan putung rokok.

Cabaran itu yang merupakan sebahagian daripada Kempen Meminimakan Bahan Buangan 2020 dianjurkan IOI Properties Group Berhad (IOIPG), merupakan satu galakan untuk kakitangannya memainkan peranan aktif dalam komuniti dan menyokong usaha yang dijalankan Badan Bukan Kerajaan (NGO).

“Ketika penghujung tahun 2020, IOIPG menganjurkan Kempen Meminimakan Bahan Buangan bagi menggalakkan gaya hidup lestari dalam kalangan kakitangan dan orang ramai dengan secara aktifnya meminimakan bahan buangan dalam kehidupan seharian.

“Ia juga sebagai menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Bangsa-Bangsa Bersatu, SDG 11 -Bandar dan Masyarakat Lestari, SDG 12 – Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab, SDG 13 – Tindakan Terhadap Cuaca dan SDG 14 – Kehidupan Dalam Air,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu menyebut, kempen itu diadakan bersempena hari memperingati penjagaan alam sekitar seperti ‘World Clean Up Day’, ‘International Coastal Clean Up Day’, Hari Alam Sekitar Kebangsaan, Hari Kitar Semula Kebangsaan, dengan harapan penjagaan kelestarian dan menggalakkan penggunaan dan penghasilan bahan buangan antara kakitangan dan orang ramai, menerusi platform maya terutamanya dalam keadaan pandemik sekarang ini.

“Kempen bermula pada Oktober dengan Cabaran Pembersihan Warga IOI Aktif 2020 dengan kerjasama ‘Reef Check Malaysia’ di mana satu webinar telah dianjurkan berkaitan sampah dan pencemaran plastik marin, kepentingan menjaga terumbu karang dan ekosistem marin, dan tindakan yang boleh dilakukan individu setiap hari.

“Ini diikuti dengan webinar mengenai pengkomposan dan pengasingan bahan buangan, masing-masing dengan kerjasama ‘Eats, Shoots and Roots’ dan ‘Cenviro’ pada Disember,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyatan itu lagi, aktiviti lain termasuklah cara memasak lestari dengan kerjasama Le Meridien Putrajaya, selain pemberian di media sosial di Facebook IOI Sustain, untuk sampai kepada komuniti dalam talian.

“Selain melaksanakan inisiatif alam sekitar, IOIPG juga komited dalam membimbing remaja melakukan impak positif dalam membina masa hadapan lestari dengan kerjsama Kumpulan itu dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) pada Persidangan Maya Pembangunan Remaja Antarabangsa 2020, bertemakan ‘Kebangkitan Remaja dalam Dunia Pasca Pandemik : Transformasi Digital dan Kehidupan Urban.

“Lebih daripada 600 remaja daripada 19 universiti di tujuh negara menyertai acara dua hari yang merangkumi topik daripada transformasi digital, pendidikan berkualiti dan peluang, dan pembangunan kemahiran dalam era digital,” menurut kenyataan itu lagi. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas