Berita

Kempen Harimau Malaya di Qatar berakhir dengan pilu

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 21 Januari 2024 1:00 AM MYT

MALAYSIA tersingkir daripada kempen Piala Asia 2023 selepas tumpas 0-1 kepada Bahrain dalam perlawanan kedua Kumpulan E yang cukup mendebarkan di Stadium Jassim bin Hamad di sini, malam ini.

Jaringan tunggal penyerang Bahrain, Ali Madan pada penghujung permainan memusnahkan peluang Harimau Malaya mengintai kemaraan ke pusingan 16 terakhir.

Ia kekalahan kedua dicatat skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon selepas tewas 0-4 kepada Jordan Isnin lalu sekali gus akan melengkapkan baki saingan kumpulan dengan menentang juara dua kali Korea Selatan, Khamis ini.

Pada pertembungan sulung kedua-dua pasukan di pentas Piala Asia itu, empat pertukaran dibuat Kim Pan Gon dalam kesebelasan utama menyaksikan pasukan negara yang turun serba kuning tampil dengan persembahan yang menyakinkan.

Empat pertukaran itu melibatkan Mohd Shahrul Mohd Saad dan Dominic Tan di bahagian pertahanan, manakala Mohamed Syamer Kutty Abba di bahagian tengah dan Paulo Josue sebagai penyerang tunggal dalam formasi 5-4-1.

Malaysia memiliki peluang terbaik mendahului pada minit ke-16 menerusi gerakan Mohamad Faisal Abdul Halim yang melorongkan bola ke Josue yang gagal menyudahkannya sebelum bola muntah disambar Arif Aiman Mohd Hanapi tetapi rembatannya ditampan keluar penjaga gol Ebrahim Lutfalla.

Pasukan negara terus mengancam kubu pertahanan lawan dengan Arif Aiman sedikit lewat untuk menyambar hantaran lintang Josue pada minit ke-19 sebelum hantaran lintang pemain pertahanan kanan Matthew Davies dari sebelah kiri gawang sedikit melewati palang pada minit ke-28.

Gawang negara kemudian cemas seketika apabila pemain tengah Komail Alaswad melepasi kawalan pertahanan dalam kotak penalti sebelum Dion Cools dan Dominic tampil menyelamatkan keadaan tatkala Ahmad Syihan Hazmi Mohamed sudah tertewas pada minit ke-31.

Selepas 45 minit pertama permainan dilihat lebih memihak Malaysia, Bahrain tampil lebih garang pada separuh masa kedua dengan tandukan Abdulla Yusuf yang menerima hantaran Alaswad dalam kotak penalti sedikit melewati tiang pada minit ke-56.

Perlawanan menjadi mendebarkan di penghujung permainan apabila voli Davies dari kiri gawang yang menerima hantaran pemain gantian Muhammad Akhyar Abdul Rashid melambung tinggi pada minit ke-90.

Bahrain yang dibimbing Juan Antonia Pizzi pula terlepas peluang keemasan untuk ‘mematikan’ perlawanan di awal masa kecederaan babak kedua selepas gerakan satu dua ke dalam kotak penalti gagal disudahkan pemain tengah gantian Ali Hasan yang diselamatkan Ahmad Syihan.

Bagaimanapun, Bahrain berhasil merobek gawang negara menerusi rembatan pemain tengah Ali Madan berpunca dari sepakan sudut, yang gagal diselamatkan Ahmad Syihan sekali gus menghidupkan peluang skuad Dilmun’s Warriors dalam memburu tempat ke pusingan 16 terbaik.

Dalam pada itu, Jordan mengesahkan tempat ke pusingan 16 terbaik biarpun tidak bernasib baik untuk melakar kemenangan selepas seri 2-2 menentang juara dua kali Korea Selatan pada satu lagi aksi Kumpulan E di Stadium Al Thumama di Doha.

Jaringan sendiri pemain pertahanan Yazan Al Arab pada masa kecederaan babak kedua meranapkan impian Jordan untuk meraih tiga mata kedua selepas skuad bimbingan Hussein Ammouta mendahului menerusi jaringan sendiri Park Yong Woo pada minit ke-37 dan penyerang Yazan Al Naimat.

Terdahulu pemain bintang Tottenham Hotspur, Son Heung Min meletakkan skuad Taegeuk Warriors bimbingan Jurgen Klinsmann di depan seawal minit kesembilan sekali gus meraih jaringan pertamanya pada kempen kali ini. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas