Utama

Kemelut MB Perak bukan isu nasional – Annuar

TAN SRI TPr ANNUAR MUSA
- Diterbit 5 Disember 2020 4:38 AM MYT

KEMELUT yang membabitkan jawatan Menteri Besar Perak bukanlah masalah nasional sebaliknya ia bersifat setempat, kata Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri TPr Annuar Musa.

Katanya, apa yang berlaku di Perak semalam adalah perkara yang tidak dibincangkan secara formal di dalam mesyuarat Biro Politik UMNO atau Mesyuarat Majlis Tertinggi BN dan Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

“Ia diputuskan sendiri wakil-wakil rakyat dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

“Apabila ia terjadi, kita sedang membuat konsultasi dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sedang berada di Perak untuk berjumpa dengan Badan Perhubungan UMNO negeri itu bagi mendapatkan maklum balas berkenaan status terkini,” katanya selepas Majlis Penyampaian MYFood@Wilayah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, apa yang sedang berlaku diharapkan dapat ditangani menerusi semangat Muafakat Nasional (MN) dan keluarga Perikatan Nasional (PN).

“Sudah pasti apabila ia berlaku, spekulasi timbul dan ia perlu diuruskan agar tidak menimbulkan ketidakstabilan serta menimbulkan perpecahan.

“Apabila ada isu politik berlaku, akan ada keresahan dan spekulasi berlaku dan pimpinan perlu uruskannya dengan baik,” katanya.

Mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agong Pas, Datuk Takiyuddin Hassan yang menegaskan bahawa Pas tidak mahu menyertai penubuhan kerajaan negeri, jelas Annuar, ia adalah reaksi normal.

“Ia bukan saja Pas, PPBM (Bersatu) difahamkan akan memberi reaksi yang sama sekiranya berlaku keterlibatan DAP dan PKR misalnya.

“Jadi tidak mengapa. Saya fikir setiap parti memberi reaksi awal masing-masing dan ia baru berlaku semalam dan kenyataan itu juga dikeluarkan semalam.

“Selepas ini pemimpin parti perlu duduk bersama bagi menguruskan keadaan itu. Macam saya kata, itu bukan masalah nasional, tetapi ia merupakan masalah setempat dan terkait dengan batang tubuh mantan MB Perak,” katanya.

Dalam sidang DUN Perak semalam, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal memperoleh sokongan majoriti dalam usul undi percaya terhadapnya yang dikemukakan oleh Datuk Abdul Manaf Hashim (BN-Pengkalan Bharu).

Daripada 59 ADUN, 10 menyokong usul berkenaan manakala 48 lagi membantah dan satu undi rosak dalam undi belah bahagian yang ditetapkan Speaker, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas